GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan (KPM) menjelaskan tiada isu diskriminasi terhadap pelajar dalam program Bengkel Persediaan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) anjuran sebuah sekolah di Johor Bahru, baru-baru ini

Justeru KPM, dalam kenyataan hari ini, memaklumkan dakwaan menerusi hantaran Twitter kononnya wujud diksriminasi dalam bengkel anjuran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Infant Jesus Convent, Johor Bahru, yang diadakan di sebuah hotel di Johor Bharu itu, adalah tidak benar.

Menurut kenyataan berkenaan, bengkel itu dilaksana dan diasingkan mengikut siri untuk mengelakkan gangguan terhadap calon yang sedang membuat persiapan bagi menyambut perayaan Tahun Baharu Cina.

KPM berkata, pada 19 dan 20 Januari lalu. Bengkel Persediaan SPM untuk calon dilaksanakan dahulu membabitkan 30 calon yang gagal dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah serta melibatkan calon GALUS (gagal lulus) dalam beberapa mata pelajaran lain.

"KPM dimaklumkan bahawa bengkel susulan yang sama bagi calon lain juga telah dirancang untuk dilaksanakan pada 26 dan 27 Januari ini di hotel yang sama," menurut kenyataan itu.

Menurut KPM, bengkel itu diadakan atas inisiatif Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Johor Bahru dengan kerjasama antara Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan serta Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) serta Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS).

KPM memohon kerjasama agar ibu bapa dan masyarakat terus menghubungi kementerian itu melalui platform rasmi sekiranya terdapat sebarang isu atau masalah terutamanya yang membabitkan pelajar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 January 2023 @ 10:26 PM