MUHAMAD Nur Aiman (tengah) menunjukkan slip keputusan 9A+ kepada rakannya.
MUHAMAD Nur Aiman (tengah) menunjukkan slip keputusan 9A+ kepada rakannya.

Kuala Pilah: Mengulang kaji secara berkumpulan dan sentiasa fokus ketika guru mengajar adalah azimat seorang pelajar memperoleh keputusan cemerlang 9A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014 yang diumumkan, semalam.

Muhamad Nur Aiman, 18, pelajar Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar (STJ), di sini, berkata, selain mengulang kaji berkumpulan, tumpuan sepenuhnya terhadap guru mengajar perlu diutamakan.

“Sebenarnya saya tidaklah hebat dalam semua mata pelajaran, tetapi tidak segan bertanya kepada rakan di dalam kumpulan belajar. Dengan cara ini kami boleh bertukar pendapat dan mereka banyak membimbing saya untuk berjaya.

“Buktinya, lebih separuh rakan-rakan yang mendapat keputusan cemerlang 9A adalah dari kumpulan kami,” katanya.

Katanya, jika berpeluang dia berhasrat melanjutkan pelajaran ke luar negara dalam bidang kejuruteraan demi mengejar cita-cita menjadi jurutera petroleum.

Bapanya Azmi Rahim, 45, ketika ditemui, tidak menyangka anak sulungnya itu mendapat keputusan cemerlang dalam SPM.

“Alhamdulillah, ia berkat usaha dia serta doa saya serta isteri. Insya-Allah saya berharap kejayaan ini akan dicontohi oleh tiga anak yang lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2015 @ 9:55 AM