Watilin menunjukkan atap bumbung rumah yang menimpanya ketika dia melakukan kerja rumah  di Taman Perumahan Seksyen 23, Shah Alam.
Watilin menunjukkan atap bumbung rumah yang menimpanya ketika dia melakukan kerja rumah di Taman Perumahan Seksyen 23, Shah Alam.
Faliq Lajim


Shah Alam: Sebanyak 88 pemilik rumah teres dua tingkat di Taman Perumahan Seksyen 23, di sini bimbang berikutan rumah yang diduduki mendap dan retak sejak beberapa tahun lalu.

Penduduk mendakwa masalah itu bukan remeh, malah ada daripada mereka mengalami kecederaan akibat ditimpa serpihan dari siling masing-masing.

Difahamkan, 24 daripada rumah terbabit dikategorikan sebagai kritikal dan dipercayai tidak selamat diduduki, malah penduduk sepatutnya keluar segera dari kediaman berkenaan.

Kebanyakan rumah yang retak adalah di Jalan Tarif, Jalan Komoditi Satu dan Dua, Jalan Dividen Satu, Dua dan Tiga, Jalan Laba dan Jalan Analisis.

Mereka turut mendakwa sudah banyak kali mengemukakan aduan kepada pihak berkenaan namun sehingga kini tiada tindakan diambil menyebabkan penduduk diselubungi ketakutan setiap saat ketika berada di kediaman masing-masing.

Penduduk, Watilin Semaila, 38, berkata, dia sudah dua kali tercedera apabila ditimpa serpihan besar siling.

“Kali pertama ketika tidur apabila serpihan siling menimpa badan saya. Kali kedua siling jatuh ketika saya melakukan kerja rumah.

“Tidur saya tak lena ketika ini kerana bimbang perkara lebih teruk berlaku ketika saya dan keluarga tidu.

“Bukan saya tak panggil kontraktor berbayar. Sudah tiga orang saya panggil untuk meninjau keadaan rumah namun semua tak nak buat kerana keadaan rumah dikatakan sangat berbahaya,” katanya.

Sementara itu, penduduk lain, Siti Zaliha Mohd Noor, 36, mendakwa rumah berkenaan dibina di atas kolam loji kumbahan dan kini satu persatu mengalami keretakan serta mendapan teruk sehingga memaksa beberapa penduduk meninggalkan kediaman masing-masing untuk menyewa di kawasan lain.

Dia yang juga Ahli Jawatankuasa Persatuan Komuniti Seksyen 23, berkata, setiap bulan dia terpaksa mengeluarkan wang untuk menyewa rumah di kawasan lain kerana bimbang keselamatan keluarga jika mereka terus tinggal di rumah yang mungkin runtuh pada bila-bila masa.

“Rumah ini dibina di atas kolam loji kumbahan. Pada mulanya, saya ingat pemaju sudah menambak dengan baik dan tiada masalah tetapi begini pula jadinya,” katanya.

Siti Zaliha berkata, pada mesyuarat tertutup yang diadakan pihak bertanggungjawab memaklumkan akan memindahkan 24 keluarga yang mendiami rumah dikelaskan sebagai kritikal dengan segera.

“Namun sehingga kini tiada hitam putih mengenai pemindahan berkenaan. Sebelum ini mereka keluarkan surat kuasa wakil (power of attorney) kepada penduduk tetapi ia lebih memihak kepada pemaju.

“Jadi kami membuat penambahbaikan dan sudah menghantar semula surat kepada mereka pada Januari lalu namun sehingga kini tiada maklum balas diterima.

“Mereka berjanji menyelesaikan masalah ini akhir Februari lalu namun sehingga kini senyap sampai ke sudah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Mac 2018 @ 7:26 AM