Sebuah rumah di Taman Surian, Mantin, di sini, yang diubahsuai secara melampau dan tanpa kebenaran pihak berkuasa. FOTO Ahmad Hasbi
Sebuah rumah di Taman Surian, Mantin, di sini, yang diubahsuai secara melampau dan tanpa kebenaran pihak berkuasa. FOTO Ahmad Hasbi
Ahmad Hasbi


Nilai: Kemelut rumah yang diubahsuai secara melampau dan tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT) di Taman Surian, Mantin, di sini, masih belum selesai.

Selepas isu berkenaan dibangkitkan lebih setahun berlalu, keadaan rumah berkenaan masih terbiar dan ditinggalkan sebelum isu terbabit kembali tular, baru-baru ini.

Jirannya Abdul Halim Hassan @ Talib, 38, berkata, dia berasa tidak tenteram setiap hari dan bimbang dengan keselamatan ahli keluarganya kerana struktur tambahan pada rumah berkenaan mulai runtuh serta reput.

Menurutnya, rumahnya turut retak dan bocor dipercayai akibat kerja ubah suai di kediaman jirannya yang sehingga kini tiada sebarang bayaran ganti rugi.

"Beberapa bahagian dinding di tingkat atas dan bawah retak dipercayai akibat kerja ubah suai rumah jiran. Malah, ada kawasan yang bocor dapat dilihat pada siling dan dinding.

"Saya pernah berbincang dengan jiran dan dia berjanji akan membayar ganti rugi selepas kediamannya siap diubah suai. Bagaimanapun, sehingga sekarang tiada bayaran dibuat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, dia difahamkan pihak mahkamah sudah mengeluarkan arahan supaya struktur tambahan itu dirobohkan, namun sehingga kini tiada sebarang tindakan.

"Ada beberapa struktur seperti siling mulai runtuh, malah ada bahagian yang mula reput dan lebih membimbangkan terdapat kolam renang di tingkat tiga.

"Sampai bila saya perlu hadapi situasi seperti ini. Mahu tunggu saya dan ahli keluarga mati dulu, baru nak robohkan?

"Saya sudah beberapa kali pergi ke Majlis Bandaraya Seremban (MBS) untuk bertanya isu ini, namun jawapan diterima agak mengecewakan," katanya.

Sementara itu, Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J Arul Kumar berkata, MBS akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai isu itu dalam masa terdekat.

Pada Jun 2022 lalu, media melaporkan MBS mengeluarkan tiga notis arahan dan sitaan kepada pemilik bangunan itu yang melakukan pengubahsuaian tanpa kelulusan supaya menghentikan dan merobohkan binaan tambahan.

Terkini: Pemilik rumah diubahsuai tanpa kebenaran sudah didakwa di mahkamah

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2023 @ 3:44 PM