Aizat Sharif


Kangar: Kehadiran musang liar yang berkeliaran di siling beberapa rumah di Taman Guru Jaya, di sini menimbulkan kegusaran dalam kalangan penduduk di taman perumahan itu.

Haiwan berkenaan bukan sahaja meninggalkan najis dalam rumah penduduk yang dimasukinya, malah turut menyebabkan siling jenis asbestos di dua rumah di taman itu runtuh sehingga menyebabkan kerugian mencecah hampir RM8,000.

Tinjauan di taman perumahan berkenaan mendapati siling di tiga rumah runtuh disebabkan oleh haiwan itu.

Seorang suri rumah, Nor Syuhadah Yusof, 29, kediamannya yang terletak di Jalan Cergas paling teruk mengalami kerugian apabila perlakuan musang liar itu turut menyebabkan sebahagian siling di bilik tamu tingkat atas rumahnya runtuh.

"Runtuhan sebahagian siling itu menyebabkan mulut anak saya cedera terkena serpihan siling berkenaan. Saya tahu ia angkara musang liar kerana haiwan itu hampir terjatuh bersama siling runtuh sebelum memanjat dan masuk semula ke bahagian siling yang masih kukuh.

"Selain itu, sebahagian siling ruang tempat meletak kereta rumah saya turut runtuh sehingga mengenai bumbung keretanya," katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Guru Jaya, di sini hari ini.

Katanya, dia bersama suami, Muhammad Faiz Ghazali, 33 dan anak tunggalnya, Zareef Danial Muhammad Faiz, 4 sudah mendiami kediaman dua tingkat itu sejak 2019 dan kejadian musang liar berkeliaran di siling rumahnya sudah lama berlaku di kediamannya dan jiran lain di taman perumahan itu.

"Pergerakan haiwan berkenaan sudah lama berlaku. Dalam kes saya, ketika musang bergerak memasuki siling rumah, saya menyangka ada pencuri cuba memecah masuk rumah saya kerana terdengar ada gerakan dari atas siling.

"Namun bila diteliti, ia hanyalah pergerakan musang liar dan semakin lama pergerakan haiwan berkenaan semakin menjadi-jadi kerana ia akan memanjat tiang telefon di tepi rumah sebelum masuk ke dalam siling atau melalui bumbung rumah," katanya.

Dia berkata, pada mulanya, dia beranggapan kehadiran haiwan berkenaan adalah perkara biasa kerana di bahagian belakang rumahnya itu adalah padang Kolej Vokasional Kangar dan terdapat banyak pokok yang menjadi habitat musang berkenaan.

"Namun apabila ia mula meninggalkan najis dan kencingnya sudah memasuki rumah, ia benar-benar menyusahkan saya. Saya juga menanggung kerugian RM8,000 akibat kejadian ini.

"Sebahagian siling di bilik tetamu dan bahagian tempat meletak kenderaan di luar sudah runtuh, manakala siling di bilik utama rumah semakin retak.

"Kejadian siling runtuh ini juga membuatkan saya dan keluarga kini terpaksa tidur di ruang tamu sejak seminggu yang lalu kerana khuatir jika siling di bilik utama juga runtuh," katanya.

Keadaan siling di bilik rumah Nor Syuhadah yang runtuh akibat pergerakan musang liar yang sering berkeliaran dalam siling rumahnya di Taman Guru Jaya, Kangar. FOTO AIZAT SHARIF
Keadaan siling di bilik rumah Nor Syuhadah yang runtuh akibat pergerakan musang liar yang sering berkeliaran dalam siling rumahnya di Taman Guru Jaya, Kangar. FOTO AIZAT SHARIF

Sementara itu Pengarah Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Perlis, Mohd Zaide Mohamed Zin berkata, pihaknya akan memasang perangkap untuk menangkap musang liar berkenaan.

"Kali terakhir terdapat haiwan liar di kawasan perumahan itu adalah pada 2015 iaitu kehadiran monyet.

"Bagi permasalahan ini pula, kita akan menghantar anggota untuk meninjau serta memasang perangkap agar tidak lagi berlaku kejadian seumpama ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Julai 2021 @ 4:07 PM