PENDUDUK menunjukkan kerja menurap jalan dan menaik taraf longkang dilakukan di belakang rumah.
PENDUDUK menunjukkan kerja menurap jalan dan menaik taraf longkang dilakukan di belakang rumah.
Mohd Shukor Amin

Sabak Bernam: “Apabila jentera masuk ke lorong belakang rumah, saya terkejut kerana ada rasa gegaran di dalam kediaman dan semalam (kelmarin), saya dapati dinding serta lantai rumah retak,” kata Sahlani Kurdi, 59, penduduk Taman Serendah, dekat sini.

Sahlani berkata, sebahagian penduduk taman perumahan itu bimbang selepas mendapati lantai dan dinding kediaman masing-masing retak.

“Penduduk mendakwa, keretakan itu berpunca daripada kerja menurap jalan dan membaik pulih longkang belakang yang dilakukan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) sejak Isnin lalu,” katanya.

Sahlani yang membeli rumah teres setingkat itu tahun lalu berkata, selain lantai dan dinding, keretakan turut membabitkan tandas kediaman berkenaan.

“Dinding dapur merekah sepanjang kira-kira tiga meter dan saya bimbangkan keselamatan kami sekeluarga, apa akan jadi jika dinding tiba-tiba runtuh,” katanya.

Pada masa sama, dia turut bimbang pihak berkaitan enggan menanggung sepenuhnya kos ganti rugi kerosakan itu.

Sahlani berkata, notis yang diterima penduduk berhubung kerja menurap dan menaik taraf longkang itu pada Jumaat lalu tidak menyatakan secara jelas kawasan yang terbabit.

“Dalam notis ini, MDSB memaklumkan kerja ini dilaksanakan di beberapa jalan dan lorong di Taman Pertama, tak sebut kerja ini turut dijalankan di taman perumahan kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Julai 2017 @ 5:10 AM