WARGA emas terpaksa menaiki tangga menggunakan tongkat biarpun dalam keadaan uzur akibat lif rosak.
WARGA emas terpaksa menaiki tangga menggunakan tongkat biarpun dalam keadaan uzur akibat lif rosak.
Ruwaida Md Zain

Pelabuhan Klang: Lebih 400 keluarga di Pangsapuri Taman Permai Indah, Pandamaran di sini, berhadapan masalah lif rosak sejak 10 tahun lalu sehingga terpaksa menggunakan tangga untuk menjalankan urusan harian di kediaman mereka.

Akibat tidak sanggup ‘mendaki’ tangga, penduduk di empat blok pangsapuri 11 tingkat itu turut mengangkut barangan dengan menggunakan tali yang dipasang di blok masing-masing.

Lebih menyulitkan apabila berlaku kematian kerana menyebabkan keluarga dan jiran terpaksa bergilir-gilir mengusung jenazah sehingga ke tingkat bawah.

Tinjauan mendapati kerosakan lif itu turut mengakibatkan sampah sarap dibuang merata-rata di sekitar pangsapuri berkenaan ia berikutan sikap tidak bertanggungjawab segelintir penduduk yang membuang sampah berkenaan dari tingkap rumah.

Mereka mendakwa lapan aduan diajukan kepada pihak berkaitan terutama kerajaan negeri mengenai permasalahan itu namun masih tiada tindakan diambil sehingga kini.

Penduduk, Rozita Zakaria, 40, yang tinggal di tingkat tujuh berkata, penghuni sememangnya amat takut untuk keluar terutama pada waktu malam.

“Dalam tempoh sehari sehingga enam kali saya turun naik tangga apatah lagi keadaan suami yang sakit dan anak terpaksa membawa beg sekolah yang berat.

“Tolong ambil tindakan segera kerana lampu juga tiada. Kami seperti pencuri kerana perlu melihat kiri dan kanan untuk turun,” katanya ketika ditemui pemberita.

KEADAAN lif yang rosak sehingga memberi tekanan kepada penduduk di Pangsapuri Taman Permai Indah, Pandamaran.
KEADAAN lif yang rosak sehingga memberi tekanan kepada penduduk di Pangsapuri Taman Permai Indah, Pandamaran.

Bagi pelajar, Mohd Irsyad Haikal Abdullah, 14, setiap hari hampir lapan kali dia naik turun tangga untuk ke sekolah, kelas agama dan melakukan urusan harian lain.

“Ada hari saya penat sangat naik turun tangga, sehingga tidak dapat pergi ke sekolah,” katanya merayu Kerajaan Persekutuan membantu penghuni di kawasan terbabit untuk mendapatkan lif dalam kadar segera.

Sementara itu, Koordinator DUN Pelabuhan Klang, Datuk Nasaruddin M Zin berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar bagi membantu menyelesaikan masalah terbabit.

“Saya akan mengadakan pertemuan secepat mungkin dengan Noh kerana perkara ini serius malah perlu diambil tindakan segera.

“Kami dukacita kerana tiada satu pun lif yang berfungsi seperti biasa kecuali di Blok C tetapi kalau hendak guna lif itu kena naik tingkat dua terlebih dulu kerana pintu lif di tingkat paling bawah tidak boleh dibuka,” katanya memaklumkan akan berusaha mendapatkan sekurang-kurangnya satu lif bagi setiap blok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Mac 2018 @ 9:10 AM