Mohd Hilmie Hussin

ANGGOTA tentera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di Melaka hari ini atas tuduhan menggunakan wang palsu RM50 untuk pembelian 'kemaluan wanita', awal bulan lalu.

Tertuduh, Tengku Mohammad Zakaria Raja Ghazali, 29, yang berpangkat koperal membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Norma Ismail.

Tertuduh didakwa menggunakan dua nota wang palsu RM50 untuk pembelian peralatan seks 'Crazy Bull Pussy' dengan mengetahui wang digunakan adalah wang palsu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di Stesen Minyak Petronas Sungai Udang, pada 8 Februari 2018.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Shazreen Nadia Saaban menawarkan jaminan RM15,000 dikenakan ke atas tertuduh, bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguambela Ishak Kari merayu dikenakan jaminan rendah dengan alasan menetap di kuarters tentera.

"Anak guam saya juga tidak mempunyai banyak wang, malah menanggung isteri yang tidak bekerja dan seorang anak masih kecil," kata Ishak.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah kemudian menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 April ini untuk serahan dokumen dan sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Mac 2018 @ 2:36 PM