Rizanizam Abdul Hamid


Melaka: Lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan menggunakan wang palsu bernilai RM100 untuk pembelian tin air dan susu di restoran di sini, 30 Mac lalu.

Tertuduh, Mohd Hakimi Abd Ghani, 23, dari Kuarters Kesihatan Masjid Tanah, Alor Gajah, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 10.30 malam di Restoran Dubai, Kompleks Perniagaan Kota Shah Bandar di Melaka Tengah untuk membeli satu tin air dan sekotak susu dengan mengetahui wang digunakan adalah palsu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Ruvinna Mohd Rawi meminta mahkamah menetapkan jaminan RM20,000 ke atas tertuduh dengan seorang penjamin.

Peguam bela James Thanjong Tuan memohon supaya dikenakan jaminan rendah atas alasan anak guamnya tidak bekerja dan bapanya yang sakit selain emak tidak bekerja.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Mei untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2017 @ 11:42 AM
TERTUDUH (kiri) dibawa anggota polis selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
TERTUDUH (kiri) dibawa anggota polis selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber