Mohd Hilmie Hussin

SEMATA-mata kerana coklat dan air minuman bernilai RM50 di kedai serbaneka 24 jam, pengawal keselamatan yang melakukan rompakan bersenjata kini berdepan hukuman penjara 20 tahun.

Tertuduh, Mohd Hafiz Abd Rahim, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan rompakan bersenjata menggunakan sebilah pisau lipat dan mengambil coklat serta air minuman hingga menyebabkan kerugian RM50 di kedai 7 Eleven Pandan Malim, 6.20 petang, pada 21 Januari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Shazreen Nadia saaban yang melakukan pendakwaan mencadangkan jaminan RM20,000 serta beberapa syarat tambahan dikenakan ke atas tertuduh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Mac 2018 @ 1:49 PM
TERTUDUH, Mohd Hafiz Abd Rahim, 34, diiringi anggota polis keluar dari mahkamah selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan rompak bersenjata ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh. FOTO Rasul Azli Samad