FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


LELAKI menangis teresak-esak di dalam kandang tertuduh sebaik dibacakan dua pertuduhan menggunakan wang palsu berjumlah RM500 di Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini.

Ridzuan Mat Nor, 35 sebelum ini pernah berdepan dua pertuduhan sama pada 20 Ogos lalu, sekali lagi didakwa di hadapan Hakim G Ramsesh, hari ini.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama, Ridzuan didakwa menggunakan wang palsu untuk membeli durian daripada Ee Lean Kew, 65, menggunakan enam keping not RM50 di tepi jalan besar Taman Asoka, Mantin, 11.30 pagi pada 20 Julai lalu.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menggunakan dua keping not RM100 untuk membeli durian daripada Muhammad Danish Izzman Sharizal, 17, di Kampung Tarun, Broga, Mantin 11.30 pagi pada 5 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes 14 November ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Norshazwani Ishak menawarkan jaminan RM10,000 setiap pertuduhan sebelum peguam tertuduh, A Parthiban mengemukakan rayuan.

Mahkamah memberikan jaminan RM7,000 setiap pertuduhan dan mengarahkan Ridzuan melapor diri di Balai Polis Bangi, Selangor pada setiap Ahad minggu ketiga setiap bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Oktober 2018 @ 12:46 PM