SUAMI isteri dibawa keluar mahkamah sejurus mengaku bersalah atas tuduhan membeli kucing Parsi menggunakan wang palsu, hari ini. FOTO NURALIAWATI SABRI.
SUAMI isteri dibawa keluar mahkamah sejurus mengaku bersalah atas tuduhan membeli kucing Parsi menggunakan wang palsu, hari ini. FOTO NURALIAWATI SABRI.
Nuraliawati Sabri


Alor Gajah: Suami isteri mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan membeli dua kucing Parsi dengan menggunakan wang palsu, 11 Disember lalu.

Tertuduh, Mohammad Norkieflee Abdul Raheem, 22, dan isterinya, Nurul Farah Syafiqah Abdul Aziz, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Afizi Othman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bersama-sama menggunakan wang palsu sebanyak 53 keping bernilai RM2,500 bagi membeli dua kucing Parsi.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh di tepi jalan berhampiran Plaza Tol Ayer Keroh, pada 2.25 pagi 11 Disember lalu.

Justeru, mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu agar hukuman ringan dikenakan ke atas mereka disebabkan tidak mengetahui wang berkenaan adalah palsu.

Selepas mendengar rayuan itu,mahkamah kemudian menolak pengakuan bersalah yang dibuat pasangan itu kerana menjadi pengakuan bersyarat.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Nur Nadia Mohamed Iqbal yang kemudian mencadangkan jaminan RM20,000 diberikan kepada setiap tertuduh.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 setiap seorang dan menetapkan 28 Januari depan tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Disember 2021 @ 5:11 PM