RUMAH empat beranak yang terbakar di Kampung Parit Raja Laut.
RUMAH empat beranak yang terbakar di Kampung Parit Raja Laut.
Mohamad Fahd Rahmat

Muar: Empat beranak tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka di Kampung Parit Raja Laut, Jalan Joned, di sini, musnah dalam kebakaran jam 8.30 malam semalam.

Mangsa, Normala Halid, 46, berkata, ketika kejadian, semua ahli keluarganya tiada di rumah kerana mereka berniaga di gerai makan tidak jauh dari pusat bandar.

“Saya dan suami (Ahmad Hussain, 48) ditemani dua anak lelaki berusia sembilan dan 18 tahun baru selesai berniaga serta sepatutnya pulang pada jam 8 malam.

“Bagaimanapun, selesai berniaga, kami singgah ke pasar raya untuk membeli pelbagai barangan keperluan berniaga, tiba-tiba jiran menelefon dan memberitahu rumah kami terbakar menyebabkan kami bergegas pulang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Normala berkata, apabila tiba di rumah mereka tidak boleh berbuat apa-apa kerana api marak dan memusnahkan semua peralatan, barangan serta wang simpanan berniaga.

Katanya, mereka hanya mampu menangis melihat rumah itu musnah dalam kebakaran dan menganggarkan kerugian RM10,000.

“Saya terkilan kerana wang itu adalah hasil titik peluh kami berniaga, kami bukanlah orang senang yang dapat upah setiap bulan... tapi nak buat macam mana, tiada rezeki.

“Apa pun, saya lega kerana kedua-dua anak ikut kami berniaga selain mengambil keputusan ke pasar raya untuk membeli belah, saya tidak boleh bayangkan apa akan berlaku jika kami pulang awal,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Muar, Datuk Ashari Md Sarip berkata, keluarga berkenaan akan ditempatkan di inap desa selama dua hari sebelum berpindah ke rumah transit.

Menurutnya, empat beranak itu dibenarkan tinggal di rumah transit sehingga rumah mereka siap dibina.

“Kami juga menghulurkan bantuan wang tunai kepada mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2018 @ 3:13 AM