Rumah pusaka yang terbakar di Jalan Parit Satu Barat,  semalam.
Rumah pusaka yang terbakar di Jalan Parit Satu Barat, semalam.
Amirul Aiman Hamsuddin

Sabak Bernam: Saya bersyukur isteri dan anak terselamat dalam kebakaran ini walaupun rumah pusaka musnah dimamah api,” kata Muhammad Nor Sabirin, 47.

Dalam kejadian jam 10.45 pagi semalam, Muhammad Nor bersama isteri dan bayi perempuan mereka, Husna Nur Batrisya, 11 bulan, terselamat sejurus rumah mereka di Jalan Parit Satu Barat, di sini, terbakar.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika dia baru pulang berniaga di gerai kuih di Pasar Awam Sungai Besar sebelum bersiap untuk ke sekolah tiga anaknya bersama isteri, Zuraidah Awang, 35.

Katanya, mereka mahu menghadiri program dialog prestasi dan menandatangani keputusan peperiksaan pertengahan tahun di sekolah anak mereka itu.

“Ketika bersiap, saya terdengar bunyi letupan kecil di bilik tengah di tingkat dua. Isteri berasa tidak sedap hati lalu meninjau bilik itu sebelum melihat api mula membakar bilik itu,” katanya ditemui, di sini, semalam.

Katanya, dia segera mengambil air menggunakan baldi dan memadamkan api itu tetapi gagal.

“Api marak dengan cepat kerana rumah pusaka peninggalan arwah emak diperbuat daripada kayu.

“Saya sempat menyelamatkan barangan penting seperti kad pengenalan dan kereta, namun barangan lain seperti peralatan berniaga, pakaian, perabot, motosikal tidak dapat diselamatkan,” katanya yang mendakwa kerugian RM200,000 dalam kejadian berkenaan.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sabak Bernam serta BBP Sekinchan dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan jam 10.59 pagi.

“Sebaik tiba di lokasi, kami dapati api memusnahkan 95 peratus kediaman mangsa.

“Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dan punca serta jumlah kerugian masih disiasat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Julai 2017 @ 6:17 AM