Zainab Abdullah, 71, berdiri di hadapan rumah baharu miliknya pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Baharu PPRT di Kampung Lada semalam. Aidilfitri kali ini amat bermakna bagi warga emas yang bergelar ibu tunggal apabila dapat masuk ke rumah baharu di Kampung Lada, di sini, selepas tujuh bulan menumpang di perumahan transit. FOTO AZRUL EDHAM
Zainab Abdullah, 71, berdiri di hadapan rumah baharu miliknya pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Baharu PPRT di Kampung Lada semalam. Aidilfitri kali ini amat bermakna bagi warga emas yang bergelar ibu tunggal apabila dapat masuk ke rumah baharu di Kampung Lada, di sini, selepas tujuh bulan menumpang di perumahan transit. FOTO AZRUL EDHAM
Ahmad Hasbi

Rembau: Aidilfitri kali ini amat bermakna bagi wanita warga emas ini apabila dapat masuk ke rumah baharu di Kampung Lada, di sini, selepas tujuh bulan menumpang di perumahan transit.

Ia disebabkan rumah pusaka di tapak sama musnah dalam kebakaran pada September tahun lalu menyebabkan mereka tiga beranak tinggal sehelai sepinggang.

Zainab Abdullah, 71, berkata, dia bercerai dengan suaminya sejak lebih 10 tahun lalu dan hanya bekerja sebagai pembantu kedai makan bagi meneruskan hidup bersama tiga anak termasuk seorang yang berstatus Orang Kurang Upaya (OKU).

"Pada hari kejadian saya dalam perjalanan pulang dari tempat kerja sebelum penduduk memaklumkan rumah kami terbakar.

"Sebaik tiba, saya dapati rumah hanya tinggal abu. Semuanya musnahnamun bernasib baik dua lagi anak tiada di rumah kerana keluar bekerja," katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Baharu PPRT, petang semalam.

Majlis disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota, Suhaimi Aini.

Hadir sama, Pegawai Daerah Rembau, Mohd Zamri Mohd Esa.

Zainab berkata, dia kini tidak bekerja kerana faktor usia dan hanya bergantung kepada dua anak serta bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan.

"Anak OKU bekerja kampung dan anak ketiga hanya bekerja dengan pendapatan biasa manakala seorang lagi sudah berkahwin dan menetap di Seremban.

"Alhamdulillah, lega rasanya apabila dapat masuk dan tinggal di rumah sendiri lebih-lebih untuk sambut Aidilfitri, ini sangat bermakna bagi kami. Terima kasih kepada semua yang membantu," katanya.

Sementara itu, Suhaimi berkata, selepas rumah wanita itu terbakar, Zainab ditempatkan di rumah sewa di kampung itu juga namun kediaman itu turut musnah dalam kebakaran sebulan kemudian.

"Mak Cik Zainab kemudiannya dipindahkan ke rumah transit Desa Rimbunan Kaseh dekat Batu Hampar, di sini. Alhamdulillah, rumahnya sudah siap dan dapat diduduki.

"Selepas kejadian kebakaran, saya bersama Pejabat Daerah dan Tanah terus membuat permohonan untuk rumah PPRT kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

"Pembinaan bermula pada Disember tahun lalu menerusi GiatMara Negeri Sembilan dan siap pada hujung Mac lalu. Rumah dilengkapi tiga bilik, satu bilik air dan satu bilik mandi dengan keluasan keseluruhan 210 meter persegi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2024 @ 12:40 PM