Siti Zainab  melihat rumahnya yang terbakar.
Siti Zainab melihat rumahnya yang terbakar.
Garret Dawum

Sungai Buloh: “Dugaan Ramadan kali ini sungguh berat buat saya dan keluarga. Segala persiapan menyambut Aidilfitri rentung jadi abu akibat kebakaran,” kata Ridzawati Jamaludin, 39.

Katanya, mereka enam beranak tinggal sehelai sepinggang apabila rumah sewa menjadi tempat berteduh di Kampung Paya Jaras Dalam, di sini, musnah dalam kebakaran jam 1.50 pagi Sabtu lalu.

Selain enam beranak berkenaan, kebakaran turut memusnahkan kediaman jiran mereka, Siti Zainab Mohamed, 43.

Katanya, dia berasa amat sedih kerana tidak sempat menyelamatkan baju raya dibeli untuk empat anaknya yang berusia tiga hingga 14 tahun.

Apa yang lebih menyedihkan barangan keperluan seperti susu, ubat, lampin pakai buang dan mesin sedut kahak untuk suaminya, Muhamad Isnin Hussein, 41, yang sudah 11 bulan terlantar akibat penyakit tibi tulang juga musnah terbakar.

“Kejadian berlaku ketika kami sedang tidur. Saya baru sahaja selesai memberikan susu kepada suami. Saya hanya menyedari kejadian selepas terdengar jeritan penduduk yang memberikan amaran ada kebakaran berlaku.

 Ridzawati (kanan) sebak ketika dikunjungi jiran.
Ridzawati (kanan) sebak ketika dikunjungi jiran.

“Selain perabot dan kelengkapan rumah, van yang kami gunakan untuk berniaga sebelum ini juga musnah terbakar. Sedih juga mengenangkan apa yang berlaku tapi nak buat macam mana, benda dah nak jadi.

“Apa yang penting, kami enam beranak selamat suami juga sudah dihantar ke hospital untuk menerima rawatan,” katanya.

Sementara itu, Siti Zainab ketika ditemui berkata, ketika kejadian kediaman mereka kosong berikutan dia dan ahli keluarga lain keluar berniaga.

“Selepas dimaklumkan mengenai kebakaran itu, suami dan anak terus pulang ke rumah, namun tidak ada apa yang boleh dilakukan ketika itu kerana tempat kami berteduh selama ini musnah dijilat api.

Kedua-dua keluarga terbabit menumpang rumah jiran. Orang ramai boleh menghulurkan bantuan untuk meringankan beban mereka menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN), 1000-5410-0017-6744 (Ridzawati Jamaludin) atau Maybank 1627-6807-1684 (Fauzal Atni Adlis).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Jun 2018 @ 11:15 AM