Mary Victoria Dass

SERAMAI 138 pelajar sekolah, universiti dan kolej di negeri ini dikesan positif dadah menerusi saringan air kencing dilakukan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Johor sepanjang tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, ia berdasarkan pemeriksaan dilakukan di 140 sekolah serta 25 universiti dan kolej.

Beliau berkata, keseluruhannya 4,083 pelajar sekolah dan 2,993 penuntut universiti diperiksa dalam operasi itu, namun tiada sebarang ujian patologi dijalankan.

“Saringan ini dilakukan secara rawak membabitkan kawasan bandar dan luar bandar. Masalah ini diberikan perhatian dan kita menjalankan program sesuai dengan kerjasama pelbagai pihak untuk menanganinya,” katanya, hari ini.

Sementara itu, Ayub berkata, impak pelbagai program dilaksanakan pihaknya tahun lalu membolehkan jumlah individu yang menjalani pemulihan berdaftar menurun kepada 581 individu atau 26.81 peratus.

Katanya, pada 2016 merekodkan 2,167 individu terbabit berdaftar, berbanding 1,586 pada 2017.

“Ini hasil daripada pelaksanaan aktiviti penguatkuasaan, operasi bersepadu, program pencegahan, ujian saringan air kencing dan aktiviti kesedaran selain kempen kesedaran dijalankan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2018 @ 5:37 PM