Mohd Rizal Abdullah


PEGUAM lelaki kerugian lebih RM100,000 apabila kediamannya diceroboh, manakala Mercedes-Benz E250 miliknya turut dilarikan dalam kejadian di Jalan Pujut, Miri, pagi kelmarin.

Kejadian disedari oleh pekerja peguam terbabit iaitu wanita berusia 43 tahun yang datang untuk memeriksa rumah berkenaan pada 10 pagi.

Menurut sumber, peguam berusia 62 tahun itu tiada di Miri untuk sementara waktu atas urusan kerja, namun pekerjanya akan datang setiap pagi untuk memeriksa rumah berkenaan.

Sumber itu berkata, ketika pekerja wanita itu ke rumah, dia mendapati pintu pagar utama rumah berkenaan dalam keadaan terbuka.

"Pintu hadapan rumah juga turut diumpil selain keadaan rumah yang berselerak diselongkar penceroboh.

"Mercedes-Benz E250 yang diletakkan di perkarangan rumah yang didapati hilang, namun, barangan lain yang hilang masih belum dapat dipastikan berikutan perlu disahkan oleh penghuni rumah terbabit kecuali," katanya.

Berikutan itu laporan polis dibuat oleh pekerja wanita terbabit di Balai Polis Pusat Miri pada hari sama.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan itu dan kes sedang disiasat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2018 @ 3:26 PM