WEIDNER (kanan) bersama Naib Presiden Jualan dan Pemasaran MBM, Michael Jopp ketika melancarkan model kompak Mercedes-AMG.
WEIDNER (kanan) bersama Naib Presiden Jualan dan Pemasaran MBM, Michael Jopp ketika melancarkan model kompak Mercedes-AMG.
Lizam Ridzuan


Mercedes-Benz Malaysia (MBM) sebagai pengedar utama kenderaan Mercedes-Benz di negara ini melancarkan tiga model kompak talaan AMG untuk pasaran tempatan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Claus Weidner berkata model hatchback Mercedes-AMG A 35 4Matic Edition 1, A 45 4Matic+ Edition 1 dan CLA 45 S 4Matic+ Coupe yang pertama kali diperkenalkan adalah segmen yang semakin mendapat permintaan tinggi dalam pasaran.

"Bertepatan masanya kami menyambung semula operasi selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bagi merancakkan semula pertumbuhan ekonomi syarikat melalui pelancaran tiga model serba baharu prestasi AMG ini yang disasarkan kepada golongan pembeli lebih muda," katanya melalui pelancaran secara digital semalam.

Sesuai buat pemanduan pestasi di litar ataupun jalan raya, ketiga-tiga model gaya agresif ini juga menjadi tanda laras terbaharu dalam segmennya yang menawarkan inovasi dan mobiliti mewah serta berprestasi di negara ini.

Ketiga-tiga model ini dijana enjin bersesaran 1,991 cc pengecas turbo yang menawarkan kuasa kuda 306 hp dan tork 400Nm (A 35), 421 hp dan 500Nm untuk model A 45 S dan CLA 45 S.

Selain itu ia mampu mencapai kelajuan daripada 250 kilometer/sejam (km/j) sehingga 270 km/j dan sifar ke 100 km/j dalam tempoh sekitar 4.7 ke 3.9 saat.

"Sesuai dalam suasana norma baharu kami juga menggalakan pengguna untuk ke laman web kami untuk melihat dengan lebih dekat model terbaharu yang dilancarkan dan membuat temujanji untuk sesi pandu uji yang juga boleh diaturkan di rumah," katanya.

Untuk pasaran Malaysia Mercedes-AMG A 35 4MATIC Edition 1 dijual pada harga RM379,888, Mercedes-AMG A 45 S

4MATIC+ Edition 1 (RM459,888) dan Mercedes-AMG CLA 45 S 4MATIC+ (RM448,888).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2020 @ 3:18 PM