Muhammad Hafiz  dipenjara 18 bulan atas  kesalahan menceroboh pada  Oktober 2017.
Muhammad Hafiz dipenjara 18 bulan atas kesalahan menceroboh pada Oktober 2017.
HM Digital

Kota Bharu: Seorang ibu hanya mampu menangis sebaik anak lelakinya dijatuhi hukuman penjara 18 bulan di Mahkamah Majistret, semalam.

Majistret Kamarul Hasyime Rosli menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Muhammad Hafiz Abdullah, 26, mengaku salah terhadap tuduhan menceroboh sebuah rumah, tahun lalu.

Mahkamah memerintahkan hukuman bermula daripada tarikh tertuduh yang juga penjual belon ditangkap pada 29 Oktober 2017.

Pada bulan lalu, tertuduh dihukum penjara tujuh tahun dan empat sebatan di Mahkamah Sesyen bagi kesalahan merompak dua wanita di sebuah rumah di Kubang Kerian dengan pisau.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Hafiz didakwa menceroboh rumah milik Rozihan Che Pa, 22, di Jalan Bayam pada jam 11.30 pagi, 20 Oktober 2017.

Tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 453 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, ketika mangsa berada di rumah sewanya, dia melihat tertuduh masuk ke dalam rumah dengan parang.

Mangsa kemudian membuat laporan polis dan tertuduh ditangkap pada 29 Oktober 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2018 @ 4:39 AM