Zarina didenda RM1,000 selepas mencakar muka adik perempuannya hingga cedera dalam satu perbalahan mulut, dua minggu lalu. FOTO Siti Nor Hidayatidayu Razali
Zarina didenda RM1,000 selepas mencakar muka adik perempuannya hingga cedera dalam satu perbalahan mulut, dua minggu lalu. FOTO Siti Nor Hidayatidayu Razali
Siti Nor Hidayatidayu Razali


SEORANG wanita didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini, atas pertuduhan mencakar muka adik perempuannya hingga cedera dalam perbalahan, dua minggu lalu.

Majistret Kamarul Hasyime Rosli menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Zarina Setapa, 39, yang mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada adiknya, Nurul Asyikeen, 29, dengan mencakar muka hingga meninggalkan kesan calar dan luka di Lorong Tengku Mohani, Jalan Kuala Besar, Kota Bharu, 7.25 pagi, pada 11 Oktober 2017.

Berdasarkan fakta kes, berlaku perbalahan antara kedua-dua pihak sebelum tertuduh bertindak menarik kepala mangsa serta mencakar muka hingga mengalami kesakitan di kepala, luka di pipi dan calar di muka.

Kejadian berpunca daripada tindakan mangsa membebel kepada anak tertuduh hingga menyebabkan wanita itu tidak berpuas hati lalu menyerangnya.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda yang boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, tertuduh memohon supaya hukuman ringan dikenakan terhadapnya kerana dia sudah insaf dengan perbuatannya.

Bagaimanapun, Sharifah Amirda Shasha memohon supaya wanita itu dikenakan hukuman yang boleh memberi pengajaran kerana sebagai seorang kakak, tertuduh sepatutnya melindungi ahli keluarga.

Mahkamah memerintahkan tertuduh membayar denda RM1,000 atau penjara selama sebulan sekiranya tertuduh gagal membayarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2017 @ 5:17 PM