MOHD Hafidz (kiri) bersama pegawainya melihat peta di dalam KM Kota Belud di Pelabuhan Sabah, semalam.
MOHD Hafidz (kiri) bersama pegawainya melihat peta di dalam KM Kota Belud di Pelabuhan Sabah, semalam.
Norasikin Daineh

Kota Kinabalu: Kapal Maritim (KM) Kota Belud milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang akan beroperasi di Sandakan bermula 15 Februari ini, dijangka mampu mengukuhkan lagi tahap keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

Pegawai Memerintah KM Kota Belud, Leftenan Komander Maritim Mohd Hafidz Mohd Tajuddin berkata, kapal berteknologi tinggi itu mempunyai pelbagai sistem tersendiri dan persenjataan canggih termasuk sistem radar yang boleh mengesan sehingga jarak 70 hingga 100 batu nautika, selain dilengkapi sistem infrared.

“Ia turut dilengkapi meriam buatan Turki yang dikawal sepenuhnya dari kapal ini dan Pesawat Udara Tanpa Pemandu (UAV) serta bot berkuasa tinggi yang dipercayai sesuai menjalankan kerja operasi apabila ditugaskan di Sandakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media di atas kapal KM Kota Belud sempena Hari Terbuka Maritim Malaysia di Pelabuhan Kota Kinabalu, di sini, semalam.

KM Kota Belud akan beroperasi di perairan Daerah Maritim 17 (DM17) iaitu muara Sandakan, Lankayan sehingga ke Dent Heaven, Lahad Datu.

Mohd Hafidz berkata, sebagai Pegawai Memerintah kapal itu, beliau mengambil masa empat bulan untuk mempelajari dan menguasai sistem aset terbabit.

“Di dalam kapal ini kami mempunyai 25 kru dan saya mengambil masa empat bulan untuk mahir mengendalikan semua sistem kapal yang sebelum ini berpangkalan di Pelabuhan Klang, Selangor,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, kehadiran kapal berkenaan di Sandakan akan membantu kapal sedia ada milik Maritim Malaysia serta agensi lain dalam mengukuhkan lagi tahap keselamatan sekitar pantai timur Sabah.

“Kapal sedia ada sebelum ini mampu belayar tujuh hari, tetapi kapal ini boleh mencapai sehingga 10 hari belayar di laut.

“Saya berharap dengan kemampuan kapal ini untuk lebih lama berada di laut, ia dapat mengukuhkan dan membantu agensi lain menjaga keselamatan kawasan sekitar perairan Sandakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2018 @ 10:19 AM