Mark (kiri) memberi taklimat kepada media di Wisma PIAM, semalam.
Mark (kiri) memberi taklimat kepada media di Wisma PIAM, semalam.
Nabil Basaruddin


Kuala Lumpur: Proton Wira dan Toyota Hilux terus menjadi model kenderaan yang paling hangat dicuri oleh pencuri kenderaan dalam tempoh 12 bulan pada tahun lalu berdasarkan tuntutan bagi kes kecurian oleh Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM).

Mengikut statistik yang dikeluarkan PIAM, berdasarkan rekod tuntutan insurans kenderaan yang membabitkan kereta persendirian, motosikal dan kenderaan komersial mencatatkan penurunan 23 peratus secara keseluruhannya.

Ketua Pegawai Eksekutif PIAM, Mark Lim berkata, pada tahun lalu, 654 unit Proton Wira dan 537 unit Toyota Hilux direkodkan tuntutan kecurian menjadikan dua model itu adalah antara tertinggi dalam industri yang membuat tuntutan insurans ketika ini.

Beliau berkata, syarikat insurans membayar RM14.7 juta setiap hari bagi kes membabitkan tuntutan insurans kenderaan tahun lalu dengan jumlah keseluruhan RM5.38 bilion.

“Jumlah ini mencatatkan peningkatan tujuh peratus berbanding jumlah keseluruhan yang dibayar sepanjang 12 bulan tahun sebelumnya iaitu RM5.02 bilion, membabitkan kes membabitkan kemalangan, kerosakan dan kecurian.

“Angka itu dilihat membimbangkan kerana syarikat insurans perlu membayar jumlah tinggi pada tahun lalu dan ia memerlukan lebih banyak inisiatif bagi memastikan kejadian seperti kecurian dapat dielakkan,” katanya pada taklimat media mengenai prestasi sektor insurans am Malaysia di Wisma PIAM, semalam.

Selain Proton Wira dan Toyota Hilux, Perodua Kancil berada di kedudukan ketiga dengan 378 unit, Proton Iswara (340 unit), Perodua Myvi (290 unit), Proton Waja (231 unit), Proton Saga (214 unit), Honda Civic (133 unit), Honda City (119 unit) dan Toyota Vios (117 unit).

Lim berkata, menurut statistik sama, jumlah kenderaan persendirian yang membuat tuntutan kecurian pada tahun lalu 5,625 unit, namun jumlahnya berkurangan dari 7,610 unit pada tahun sebelumnya.

“Selain itu, bagi motosikal, jumlah yang membuat tuntutan kecurian pada tahun lalu ialah 8,874 unit (2016: 11,009 unit) dan kenderaan komersial, jumlah tuntutan kecurian tempoh sama 824 unit (2016: 1,386 unit),” katanya.

Langkah liberalisasi insurans motor yang diperkenalkan sejak 1 Julai tahun lalu membolehkan pemilik kenderaan mendapatkan polisi terbaik bagi memastikan mereka mendapat perlindungan sewajar bagi kenderaan masing-masing.

Sementara itu, jumlah tuntutan kecurian kenderaan berdasarkan kekerapan pula menunjukkan Toyota Vellfire (112 unit) dan Mitsubishi Pajero (77 unit) antara model yang kerap dicuri pada 2017 iaitu pada kadar 0.26 peratus.

Antara model lain yang kerap dicuri termasuklah Toyota Hilux, Peugeot 308, Peugeot 508, Nissan Vanette, Lexus RX350, BMW 7, Proton Perdana dan Ford Courier.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Februari 2018 @ 7:37 AM