PEGAWAI kastam memeriksa kenderaan yang ditemui semula. FOTO NSTP
PEGAWAI kastam memeriksa kenderaan yang ditemui semula. FOTO NSTP
Mohd Firdaus Ibrahim

Kuala Lumpur: Dua rakyat Malaysia iaitu Ah Sang dan Romeo menjadi antara penjenayah paling dikehendaki Bukit Aman serta Polis Antarabangsa (Interpol) kerana mengetuai empayar penyeludupan kereta curi di Malaysia untuk pasaran Timur Tengah.

Empayar haram membabitkan urus niaga bernilai jutaan ringgit setiap bulan kendalian kedua-dua mereka kini dikesan berpusat di Timur Tengah seperti Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) selepas operasi mereka di negara ini dihidu pihak berkuasa.

Mendedahkan perkara itu, seorang bekas ahli sindiket yang enggan dikenali berkata, Ah Sang atau nama sebenarnya Lee Tuck Sang, 40, dan Romeo atau Lim Poay Weng, 45, menyasarkan kenderaan mewah seperti Toyota Vellfire dan kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux untuk dicuri kerana mendapat permintaan tinggi di pasaran UAE.

Sebelum ini pada 2014, polis menahan seorang dalang utama sindiket curi kenderaan mewah di negara ini iaitu Robin Hai.

“Pelanggan di UAE kini dikatakan memilih. Disebabkan itu sindiket hanya menyasarkan Hilux dan Vellfire baru digunakan antara enam bulan hingga setahun untuk dicuri.

“Namun kenderaan Hilux dan Vellfire yang berusia lebih setahun tetap menjadi sasaran mereka. Kereta berkenaan pula dijual pada harga lebih murah daripada pasaran gelap,” katanya.

Menurutnya, beberapa tahun lalu sindiket didalangi kedua-dua mereka menjadikan Pelabuhan Klang dan Johor sebagai pusat mengeksport kereta mewah yang dicuri keluar dari negara ini.

ROMEO (kiri) dan Ah Sang. FOTO NSTP
ROMEO (kiri) dan Ah Sang. FOTO NSTP

“Kini, mereka menjadikan pula pelabuhan di Sabah dan Sarawak untuk mengeksport kereta curi itu ke Timur Tengah,” katanya.

Memperincikan kaedah penyeludupan itu, beliau berkata, taktik terkini digunakan sindiket terbabit dengan memalsukan dokumen Jabatan Kastam dan pemilik geran kenderaan itu sendiri.

“Jangan terkejut, mereka (sindiket) mempunyai orang dalam dalam jabatan berkaitan untuk memudahkan proses pemalsuan dokumen berkenaan.

“Sindiket akan mendakwa kenderaan itu mahu dihantar ke Sabah dan Sarawak kononnya pemiliknya berpindah tempat kerja,”katanya.

Katanya, selepas tiba di Sabah dan Sarawak sindiket akan mengumpul kenderaan curi itu di sebuah gudang sebelum dihantar terus ke Dubai.

“Ini kaedah terkini digunakan mereka. Sehingga Jun saja, ratusan kenderaan mewah sudah dihantar ke Timur Tengah,” katanya.

Beliau berkata, sindiket diketuai Ah Sang dan Romeo mendalangi kira-kira 80 peratus dari kes kecurian kenderaan jenis Hilux dan Vellfire di seluruh Malaysia.

“Mereka (sindiket) mempunyai struktur tersusun yang memainkan peranan tertentu daripada proses awal (curi) sehinggalah penjualan kenderaan itu di Dubai,”katanya.

Untuk rekod, 278 pemilik Hilux membuat tuntutan insurans kepada Persatuan Insuran Am Malaysia (PIAM) sehingga Jun tahun ini berbanding 378 pada 2016.

Sementara itu, sumber Bukit Aman berkata, dua individu itu sememangnya menjadi buruan pihaknya.

“Maklumat risikan mendapati Ah Sang dan Romeo mengambil alih tempat Robin Hai selepas lelaki itu ditahan pihak berkuasa pada 2014.

“Selepas penahanan Robin, Ah Sang dan Romeo cuba mengetengahkan ahli baharu untuk menutup jejak mereka. Tapi mereka tidak mampu mengaburi mata kita…usaha mengesannya sedang dilakukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2017 @ 6:28 AM