ROSLAN
ROSLAN
Lizam Ridzuan


Proton Holdings Bhd (Proton) mencatatkan jualan sebanyak 5,964 unit pada Januari tahun ini, menurun sebanyak 29.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdulah berkata, penguasaan pasaran dianggarkan pada tahap 18.5 peratus juga berkurang 1.0 peratus namun, ia adalah disebabkan faktor masalah pengeluaran kenderaan untuk memenuhi permintaan dan bukan pengurangan tempahan.

"Januari lalu adalah bulan yang sukar bagi industri automotif Malayasia yang mana kami mempunyai harapan tinggi momentum jualan pada akhir tahun lalu akan dibawa ke tahun ini terutama selepas pengumuman insentif penjana dilanjutkan sehingga akhir Jun ini.

"Namun, pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membantutkan usaha itu dan Proton sentiasa menyokong usaha kerajaan dalam menangani pandemik Covid-19," katanya dalam kenyataan, semalam.

Pada Januari lalu, Proton mencatatkan jualan model Saga sebanyak 2,583 unit, X50 (1,082 unit), Persona (970 unit), X70 (892 unit), Iriz (283 unit) dan Exora (153 unit).

Saga kekal sebagai jualan kedua tertinggi sedan segmen A di negara ini dan X50 serta X70 sebagai kenderaan utiliti sukan (SUV) tertinggi untuk segmen B (lima tempat duduk) dan C, Exora sebagai kenderaan pelbagai guna (MPV) tertinggi segmen C.

"Syarikat perlu bekerja keras untuk memastikan kadar pengeluaran dipenuhi kerana sebagai industri yang bergantung kepada rantaian bekalan global adalah penting untuk mengelakan sebarang kelewatan penghantaran memandangkan ia memberi kesan terhadap pengeluaran.

"Pelaksanaan PKP meskipun memberi kesan kepada jumlah pelanggan ke bilik pameran, Proton masih menerima tempahan menerusi atas talian namun bekalan terjejas akibat pandemik dalam tempoh beberapa bulan ini," katanya.

Menurutnya, walaupun terdapat kelewatan, Proton berhasrat untuk meneruskan rancangan pelancaran produknya pada tahun ini dalam usaha untuk meningkatkan penjualan di dalam dan luar negara.

"Buat masa ini, kami akan mengikuti jadual pelancaran produk di mana kami akan melancarkan beberapa produk menarik pada tahun ini," katanya.

"Manakala Proton X50 pula akan diberi peluang untuk memantapkan kedudukannya di pasaran serta menerima faedah jualan selama setahun. Kami sedar pasti ada lebih cabaran pada tahun ini dan keadaan tidak akan berubah sehingga virus itu dapat dikawalkan di seluruh dunia, tetapi kami juga memahami bahawa inilah norma baru perniagaan dan pihak syarikat bertanggungjwab untuk menukar cara operasi untuk memenuhi permintaan pelanggan," katanya.

Untuk rekod sebanyak 4,809 unit Proton X50 sudah dihantar kepada pembeli sejak dilancarkan pada Oktober 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2021 @ 6:10 AM