PROTON Wira terus menjadi model paling banyak dicuri dalam tempoh enam bulan pertama 2019. -Foto NSTP
PROTON Wira terus menjadi model paling banyak dicuri dalam tempoh enam bulan pertama 2019. -Foto NSTP
Nabil Basaruddin


PROTON Wira, Proton Iswara dan Perodua Kancil terus menjadi model yang paling banyak dicuri dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini berdasarkan tuntutan bagi kes kecurian kereta oleh Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM).

Ketua Pegawai Eksekutif PIAM, Mark Lim berkata, pada tempoh berkenaan, sebanyak 225 unit Proton Wira dan 164 unit Proton Iswara serta 123 unit Perodua Kancil direkodkan bagi tuntutan kecurian.

Beliau berkata, Toyota Hilux pula menjadi jenama kenderaan asing yang merekodkan kes kecurian tertinggi bagi tempoh antara Januari hingga Jun tahun ini berjumlah 112 unit.

“Pada tahun lalu, jumlah kenderaan yang dicuri merekodkan penurunan sebanyak 49 peratus atau hanya 34,894 kes jika dibandingkan pada 2013, iaitu 70,847 kes.

“Bagi tempoh dikaji pula, jumlah keseluruhan kereta dicuri menurun sebanyak 26 peratus dari 7,027 kepada 5,173 unit kenderaan untuk semua kelas.

KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam kemalangan yang mengorbankan dua pelajar kolej di Kemaman. FOTO Rosli Ilham
KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam kemalangan yang mengorbankan dua pelajar kolej di Kemaman. FOTO Rosli Ilham

“Meskipun masih wujud kes kecurian kereta, namun usaha bersepadu yang dijalankan oleh PIAM bersama lima agensi kerajaan dan swasta diliihat membantu dalam memerangi perkara ini,” katanya pada taklimat separuh pertama 2019 industri insurans am Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Pengerusinya, Anthony Lee; Timbalan Pengerusinya, Ng Kok Kheng dan Penasihat Kanan Majlis Pengurangan Kecurian Kenderaan Malaysia Berhad (VTREC), Mohd Yusof Idris.

Selain empat model itu, kenderaan lain yang menjadi sasaran dalam kes kecurian kereta termasuklah Perodua Myvi (100 unit), Proton Waja (76 unit), Proton Saga (68 unit).

Lebih membimbangkan, model seperti Toyota Vellfire (65 unit), Nissan Vannette (64 unit) dan Honda City (51 unit) turut menjadi sasaran untuk dicuri.

Malah, motosikal seperti Yamaha 135LC, Yamaha Y125 dan Honda C100 juga menjadi model yang hangat dicuri dalam enam bulan pertama ini.

Berdasarkan rekod PIAM, kecurian Yamaha 135LC membabitkan 684 unit, Yamaha Y125 (401 unit), Honda C100 (328 unit), Yamaha Lagenda (102 unit) dan Honda Wave (101 unit).

Lim berkata, jumlah kenderaan persendirian yang membuat tuntutan kecurian setakat 31 Julai tahun ini sebanyak 2,179 unit, berkurangan dari 2,629 pada separuh pertama 2018.

“Selain itu, bagi motosikal, jumlah yang membuat tuntutan kecurian pada tempoh sama ialah 2,724 unit yang menunjukkan penurunan ketara berbanding 4,054 unit pada tahun lalu.

“Bagi kenderaan komersial turut menunjukan penurunan jumlah tuntutan kecurian dengan hanya 270 unit tuntutan pada tempoh terbabit dari 344 unit tempoh sama tahun lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Ogos 2019 @ 3:19 PM