KETUA Polis daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah (tiga dari kiri) menunjukkan pelbagai jenis parang dan pedang serta senapang yang dirampas dalam dua kes tangkapan di Dungun, hari ini. FOTO Rosli Ilham
KETUA Polis daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah (tiga dari kiri) menunjukkan pelbagai jenis parang dan pedang serta senapang yang dirampas dalam dua kes tangkapan di Dungun, hari ini. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


PESARA kerajaan ditahan polis selepas dia mengamuk dan mengejar jirannya dengan pedang di Kampung Che Lijah, Dungun, pagi tadi.

Ketua Polis daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, lelaki berusia 54 tahun itu ditahan 2.30 pagi tadi selepas polis yang bergegas ke lokasi kejadian memujuk suspek dan menahannya.

Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati suspek mengalami masalah mental selepas bercerai dengan isterinya sejak 2016.

"Suspek sebelum itu mengamuk dan mengejar beberapa penduduk kampung sejak 8.30 malam dan polis bertindak menahannya bagi mengelak kejadian tidak diingini.

"Hasil pemeriksaan lanjut di rumahnya, polis menemui 10 pedang samurai, 18 keris pelbagai saiz, 10 pedang, empat tombak, 16 parang dan tujuh pisau pelbagai saiz," katanya pada sidang media di sini, petang ini.

Beliau berkata, pihaknya percaya suspek sebelum ini adalah penggemar barangan antik dan membeli barangan itu daripada pengumpul koleksi antik sebelum menjualnya semula.

"Siasatan kami mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan kita menghantar suspek ke Hospital Hulu Terengganu untuk pemeriksaan mental dan rawatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2018 @ 6:25 PM