BAHARUDIN (kiri) memeriksa kenderaan di SJR Persimpangan Che Lijah. FOTO Rosli Ilham
BAHARUDIN (kiri) memeriksa kenderaan di SJR Persimpangan Che Lijah. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


Dungun: Pengguna jalan raya dari arah Kuala Terengganu yang ingin ke Paka, Kerteh dan Kemaman akan dilencongkan masuk ke laluan Kampung Che Lijah.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah berkata, tindakan itu dibuat bagi mengatasi kesesakan yang berlaku di Sekatan Jalan Raya (SJR) di Kilometer 79, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di persimpangan Che Lijah.

Menurutnya, pihaknya mengakui kesesakan yang berlaku di SJR Persimpangan Che Lijah disebabkan mereka yang hendak ke tempat kerja di Kawasan Industri Paka dan Kerteh.

"Selain itu, orang ramai yang ingin ke bandar Dungun membeli barangan keperluan, bekerja dan ke Pusat Penerimaan Vaksin PPV turut menyebabkan kesesakan.

"Bagi mengatasi kesesakan itu, kita mengambil keputusan melencongkan mereka yang ingin ke Paka, Kerteh, dan Kemaman bagi mengelak lebih banyak kenderaan memasuki Mukim Kuala Dungun dan Mukim Sura yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan PKPD," katanya ketika mengadakan lawatan di SJR di Persimpangan Che Lijah, di sini, semalam.

Baharudin berkata, mana-mana kenderaan yang hendak ke Paka, Kerteh, dan Kemaman kita akan lencongan masuk ke Kampung Che Lijah dan keluar melalui persimpangan Durian Mentangau.

"Laluan masuk ke Mukim Kuala Dungun dan Mukim Sura itu hanya dibenarkan kepada orang ramai untuk bekerja, membeli keperluan dan ke Pusat Pemberian Vaksin PPV sahaja," katanya.

Katanya, PKPD yang dilaksanakan di Mukim Kuala Dungun dan Mukim Sura itu membabitkan 32 lokaliti dengan jumlah 69,626 penduduk.

"Selain persimpangan Che Lijah, SJR lain dibuat iaitu di Durian Mentangau, Kampung Nibong, dan Jambatan Seberang Pintasan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Ogos 2021 @ 10:53 AM