SULAIMAN (tengah) bersama Shaharudin (tiga dari kiri) melawat gerai pameran pada Persidangan Ahli Majlis Pemimpin Muda Johor (JSLC) di Johor Bahru, hari ini. FOTO Mohd Azren Jamaludin
SULAIMAN (tengah) bersama Shaharudin (tiga dari kiri) melawat gerai pameran pada Persidangan Ahli Majlis Pemimpin Muda Johor (JSLC) di Johor Bahru, hari ini. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Mohd Sabran Md Sani


ENAM murid dari empat sekolah rendah di Pasir Gudang disyaki dijangkiti virus Influenza selepas menunjukkan tanda demam berpanjangan.

Pengarah Pendidikan negeri Shaharudin Sharif berkata, empat sekolah dikenal pasti ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bukit Dahlia, SK Taman Scientax dan dua sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC).

"Saya sudah melihat senarai nama dan didapati enam murid dari empat sekolah di Pasir Gudang disyaki menghidap penyakit Influenza selepas demam berpanjangan.

"Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan jenis Influenza terbabit dan masih menunggu laporan lengkap daripada Pejabat Kesihatan Pasir Gudang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Persidangan Ahli Majlis Pemimpin Muda Johor (JSLC) ke-5 di Johor Bahru, hari ini.

Program empat hari yang dijalankan dengan kerjasama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) menghimpunkan 1,300 peserta termasuk pelajar negara ini, Sri Lanka, Filipina, Itali, Jepun, Yaman, Oman dan Korea Selatan.

Shaharudin berkata, langkah segera sudah diambil pengurusan sekolah berkenaan termasuk menjaga kebersihan sekolah dan bilik darjah.

"Pejabat Kesihatan Pasir Gudang juga membantu dengan memberikan garis panduan berkaitan penjagaan kebersihan. Saya juga dimaklumkan semua murid terbabit sudah diarah bercuti," katanya.

Ditanya sama ada perlu penutupan sekolah dilaksanakan, katanya ia bergantung kepada arahan Pejabat Kesihatan.

"Kalau kata (arahan) tutup, kita tutup dan kita bergantung kepada Pejabat Kesihatan untuk memberikan penerangan tepat," katanya.

Beliau juga menasihatkan ibu bapa terus merujuk anak mereka ke hospital sekiranya didapati mempunyai gejala demam berpanjangan.

"Nasihat saya, kalau anak demam berpanjangan, sebaiknya pergi ke hospital kerana kita tidak tahu anak-anak ini demam biasa atau sebaliknya.

"Ibu bapa juga perlu mendapatkan maklumat penyakit ini bagi mengetahui lebih awal simptom penyakit ini," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Dasar dan Pembangunan Pendidikan) Kementerian Pendidikan Datuk Sulaiman Wak berkata, pihaknya berharap Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bekerjasama rapat dengan Pejabat Kesihatan Daerah.

"Apa-apa hal berkaitan kesihatan, kita bekerjasama rapat dengan mereka dan apa-apa yang dinasihatkan, itulah bentuk tindakan yang diambil,” katanya.

Terdahulu, terdapat kebimbangan kalangan ibu bapa di SK Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang mengenai tahap kesihatan anak mereka selepas mendakwa ada murid sekolah itu dijangkiti Influenza.

Malah, tindakan mengkuarantin sebuah bilik darjah dilakukan pengurusan sekolah, selain menasihatkan murid yang mengalami demam berpanjangan bercuti dan mendapatkan rawatan ke klinik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2018 @ 12:41 PM