Aminolhuda (duduk dua dari kanan) menunjukkan bacaan kualiti udara kepada murid sambil ketika melawat Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang. FOTO Hairul Anuar Rahim
Aminolhuda (duduk dua dari kanan) menunjukkan bacaan kualiti udara kepada murid sambil ketika melawat Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang. FOTO Hairul Anuar Rahim
Mohd Sabran Md Sani


KERAJAAN negeri mengenalpasti 10 sekolah di Pasir Gudang berisiko pencemaran dan memerlukan pemantauan rapi.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Johor, Aminolhuda Hassan berkata, semua sekolah yang tidak didedahkan identitinya itu terletak berdekatan kawasan industri.

Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri berharap Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri meletakkan alat pengesan gas ‘MultiRAE Gas Detector’ secara tetap bagi memudahkan pemantauan.

“Sebanyak 10 sekolah yang berisiko terletak dekat (hampir) kawasan industri dan memerlukan alat pengesan gas secara tetap.

“Ia penting bagi membolehkan semua sekolah lebih berjaga-jaga dengan keadaan apa yang berlaku di persekitaran mereka,” katanya pada sidang media di Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang hari ini.

Terdahulu Aminolhuda meluangkan masa sejam meninjau keadaan dan melihat bacaan kualiti udara di sekolah terbabit.

Beliau berkata, sepanjang seminggu pemantauan kualiti udara di 111 sekolah di situ, pihaknya mendapati keadaan terkawal dengan mencatatkan bacaan sifar.

“Pagi ini, saya meninjau SK Taman Bukit Dahlia dan ia antara tempat terkesan ketika insiden pencemaran Sungai Kim Kim dan kes kedua, pencemaran gas beracun pada 20 Jun lalu.

“Hasil tinjauan di kelas yang terkesan mendapati tahap bacaan sifar dan ia berlarutan sejak beberapa hari lalu,” katanya.

Menurutnya, pihaknya berharap JAS dapat meletak alat pengesan gas secara tetap supaya pemantauan dapat dibuat lebih baik terutama di sekolah berisiko.

“Ini antara perkara yang saya harap dapat diteruskan sama ada JAS atau dengan bantuan industri di kawasan Pasir Gudang.

“Ini untuk keselamatan pelajar sekolah, apa yang penting keselesaan dan kesanggupan mereka berada di sekolah tanpa rasa bimbang,” katanya.

Menurutnya, ketika ini semua pihak termasuk sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) sudah mengambil langkah proaktif.

“Ini termasuk langkah mengosongkan kelas terutama di tingkat tiga dan empat bangunan berisiko.

“Bagaimanapun, kita bimbang apabila alat pengesan gas itu tidak dibekalkan lagi, bagaimana kita mahu laksanakan langkah berjaga-jaga seperti mana dilaksanakan ketika ini,” katanya.

Lagi berita berkaitan Pencemaran Udara Pasir Gudang

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2019 @ 11:09 AM