ANGGOTA SPRM mengiringi  Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran MPS, semalam.
ANGGOTA SPRM mengiringi Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran MPS, semalam.
Mohd Sabran Md Sani

Johor Bahru: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Majlis Perbandaran Segamat (MPS) selepas disyaki menerima rasuah RM5,000.

Sumber SPRM berkata, suspek berusia 57 tahun ditahan di pejabat SPRM Johor Cawangan Segamat jam 2.30 petang, semalam.

Katanya, hasil siasatan, suspek disyaki menerima wang itu daripada pengurus sebuah syarikat pengurusan program dan acara sebagai balasan menyokong permohonan menganjurkan program di Segamat untuk tahun ini.

“Suspek ditahan di pejabat SPRM Johor Cawangan Segamat kira-kira jam 2.30 petang tadi (semalam) bagi membantu siasatan,” katanya.

Selain itu, dalam serbuan di pejabat suspek di Jalan Buluh Kasap, Segamat, pasukan penyiasat menyita beberapa dokumen berkaitan program berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(b) Akta SPRM 2009 yang boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai rasuah atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara itu Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek.

Katanya, suspek dijangka dibawa ke mahkamah hari ini untuk permohonan reman bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2018 @ 10:50 AM