SUSPEK disyaki mengemukakan tuntutan palsu kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Cawangan Segamat, tiga tahun lalu. FOTO Ihsan SPRM
SUSPEK disyaki mengemukakan tuntutan palsu kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Cawangan Segamat, tiga tahun lalu. FOTO Ihsan SPRM
Izlaily Nurul Ain Hussein


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan pengurus sebuah syarikat swasta, hari ini, kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Cawangan Segamat, tiga tahun lalu.

Lelaki berusia 37 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Johor Cawangan Segamat, kira-kira 3 petang bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.

Hasil siasatan awal, suspek disyaki mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM8,000 kepada AADK Segamat bagi kerja pembekalan untuk program AADK, sedangkan kerja berkenaan tidak dilaksanakan.

Susulan tangkapan itu, SPRM kemudian membuat serbuan di pejabat suspek di Taman Utama, Segamat dan menyita beberapa dokumen berhubung kerja pembekalan terbabit.

Kes terhadap suspek disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman denda lima kali nilai yang terbabit atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi dan penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias mengesahkan tangkapan yang dibuat bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2018 @ 6:35 PM