Mohd Sabran Md Sani


Johor Bahru: Bekas pemandu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Kluang selepas menerima rasuah berjumlah RM2,500, hari ini.

Sumber SPRM berkata, suspek ditahan selepas menerima wang suapan daripada peniaga sebuah restoran makanan segera di Yong Peng, jam 2.30 petang.

"Suspek dipercayai memperkenalkan diri sebagai pegawai kastam dan meminta mangsa membayar wang itu supaya tidak mengambil tindakan terhadap kedai di Paloh.

"Tindakan itu kerana menjual rokok dan arak seludup," katanya dalam kenyataan di sini, sebentar tadi.

Katanya, siasatan awal mendapati, suspek dipecat daripada JKDM, tahun lalu.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan, mana-mana lebih tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Februari 2017 @ 6:16 PM