GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Sabran Md Sani


Johor Bahru: Tindakan warga Nepal memberikan suapan RM3,000 kepada anggota polis membawa padah apabila ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias berkata, suspek berusia 28 tahun itu ditahan SPRM cawangan Batu Pahat di hadapan premis perniagaan pada 2.30 petang.

Katanya, wang itu dikatakan diberikan sebagai balasan supaya anggota terbabit tidak mengambil tindakan ke atasnya kerana menjual minuman keras tanpa lesen.

"Ia membabitkan premis perniagaan di Parit Jawa, Muar dan siasatan mendapati premis itu dimiliki penduduk tempatan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, turut ditahan dalam operasi itu tiga lagi warga Nepal termasuk dua wanita yang berada dalam premis perniagaan.

"Hasil pemeriksaan yang dibuat ke atas semua suspek, mereka mempunyai pasport dan permit kerja untuk bekerja sebagai 'Garden Worker'," katanya.

Katanya, beberapa barangam termasuk tin dan botol minuman keras pelbagai jenama dirampas selepas disyaki tidak mendapat kebenaran jualan dari pihak berkuasa tempatan.

"Tutut dirampas beberapa botol minyak wangi dan beg duit berjenama disyaki barangan tiruan," katanya.

Katana kes disiasat mengikut Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,0000 atau lima kali nilai suapan, mana-mana lebih tinggi.

Mengesahkan perkara itu katanya, semua suspek akan direman di Mahkamah Majistret Batu Pahat esok untuk membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2017 @ 7:00 PM