ANGGOTA polis membantu mangsa yang cedera akibat dirempuh.
ANGGOTA polis membantu mangsa yang cedera akibat dirempuh.
HM Digital

Melaka: Seorang lelaki cedera di kepala akibat dirempuh mat rempit yang cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya di Jonker Walk, Jalan Kubu, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 7 malam di hadapan pintu gerbang Jonker Walk itu, mat rempit terbabit yang menunggang Honda EX5 dikatakan panik apabila menyedari dia dikepung polis dan cuba berpatah balik melawan arus tanpa mempedulikan arahan berhenti.

Tindakan mat rempit berusia 19 tahun itu menyebabkan mangsa berusia 29 tahun yang melintas jalan untuk membeli aiskrim dirempuh. Mat rempit terbabit pula tercampak ke dalam longkang di bahu jalan dan mengalami luka di dahi kiri.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, dalam Op Pencegahan Samseng Jalanan selama tujuh jam berakhir pada 2.30 pagi di Jalan Tan Chen Yan dan Jalan Kubu itu, 156 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan manakala 11 penunggang motosikal ditahan.

“Daripada jumlah itu, lapan membabitkan waran tangkap manakala dua ditahan atas kesalahan penyalahgunaan dadah mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Dengan tertangkapnya suspek, polis percaya menyelesaikan 20 kes membabitkan waran tangkap.

“Remaja yang merempuh pejalan kaki ditahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Afzanizar berkata, jumlah kesalahan terbanyak direkodkan ialah membabitkan tiada lesen memandu dan nombor pendaftaran fancy masing-masing 29 saman.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2018 @ 9:31 AM