ANTARA pekerja asing yang bersembunyi disebalik papan bagi mengelak ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah dalam Ops Mahir di tapak binaan di Bukit Selambau semalam. FOTO Ihsan JIM
ANTARA pekerja asing yang bersembunyi disebalik papan bagi mengelak ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah dalam Ops Mahir di tapak binaan di Bukit Selambau semalam. FOTO Ihsan JIM
Noorazura Abdul Rahman


KERANA takut ditahan pihak berkuasa, dua pekerja asing warga Bangladesh dan Myanmar bersembunyi di bawah timbunan papan sebelum ditahan anggota Imigresen.

Lelaki berusia 30-an dan 40-an itu antara 61 pekerja asing yang ditahan dalam Ops Bersepadu (Ops Mahir) di tapak pembinaan di Bukit Selambau, di Sungai Petani, semalam.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah, Zuhair Jamaludin berkata, dalam operasi bermula 11.20 pagi sehingga 1.30 petang itu, pihaknya turut menahan 46 lelaki dan dua wanita warga China, tujuh lelaki warga Bangladesh dan empat lagi warga Myanmar.

“Semasa operasi, ada lagi beberapa pekerja asing ini yang lari dan bersembunyi di celahan bahan binaan, namun anggota JIM dapat mencari dan menahan mereka.

“Kita juga dapati warga China yang ditahan, masuk ke Malaysia menggunakan pas lawatan sosial iaitu sebagai pelancong tetapi rupa-rupanya mereka bekerja di tapak pembinaan dan kebanyakan mereka mengendali mesin dan jentera,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Zuhair berkata, dalam operasi itu seramai 75 pekerja asing yang diperiksa, namun 61 ditahan selepas melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

Katanya, kesemua pekerja asing berusia antara 24 hingga 60 tahun itu ditahan mengikut Perkara 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas lawatan dengan bekerja secara tidak sah.

“Selain itu mereka turut ditahan selepas didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tiada dokumen perjalanan yang sah dan Seksyen 15(1)(c) akta yang sama kerana tinggal lebih masa.

“Kesemua mereka ditahan di lokap imigresen, Bangunan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Alor Setar untuk siasatan lanjut sebelum dihantar ke Depot Imigresen, Belantik, Sik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2019 @ 8:46 AM