MUSTAPHA (dua kiri) menyampaikan Geran Bantuan Kewangan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) kepada wakil NGO.FOTO Samadi Ahmad
MUSTAPHA (dua kiri) menyampaikan Geran Bantuan Kewangan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) kepada wakil NGO.FOTO Samadi Ahmad
Samadi Ahmad

Putrajaya: Kementerian Sumber Manusia (KSM) menyelamatkan RM426 juta tuntutan melalui program Penjana Kerjaya oleh majikan tidak bertanggungjawab hasil semakan dan siasatan dalaman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Timbalan Menterinya, Mustapha Sakmud berkata, beberapa siri tangkapan dan pendakwaan telah dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan tuntutan palsu program berkenaan bermula 9 Januari lalu.

Menurutnya, PERKESO dengan kerjasama SPRM menjalankan operasi bersepadu dikenali Ops Hire sejak April 2021.

"Beberapa pendakwaan lagi akan dilakukan SPRM dan PERKESO akan terus bekerjasama bagi membuat semakan untuk menjejaki majikan yang terbabit membuat tuntutan palsu program itu," katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Geran Bantuan Kewangan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) kepada Institusi dan Badan-Badan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) 2023 di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed;

Ketua Pengarah PERKESO, Mohd Anuar Embi dan Pengarah Eksekutif Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH), Ayop Salleh.

Mustapha berkata, susulan itu, PERKESO mengambil langkah-langkah sepatutnya untuk mengetatkan kawalan bagi memperbaiki sistem sedia ada dengan membuat penambahbaikan ke atas parameter dan kriteria kelayakan bagi setiap pemohon.

Menurutnya, penambahbaikan bertujuan memastikan hanya individu yang benar-benar layak mendapat kelulusan dan menerima tuntutan itu.

Katanya, tindakan analisa permohonan majikan juga dibuat sekiranya majikan memohon jumlah pekerja yang terlalu ramai mengikut parameter yang ditetapkan.

"Antara yang dikesan seper titidak bertepatan dengan saiz industri; tidak seiring dengan keperluan industri dan tidak bersesuai dengan latar belakang syarikat," katanya.

Mustapha berkata, pada masa sama KSM turut mengadakan pemantauan secara berterusan ke atas latihan di bawah program ini yang dipohon bersama penyedia latihan berdasarkan beberapa perkara.

Katanya, pemantauan mendapati ada latihan diadakan tidak bertepatan dengan skop pekerjaan dan bercanggah dengan latar belakang syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2023 @ 2:22 PM