Meor Riduwan Meor Ahmad


NELAYAN warga Thailand, 24, dikhuatiri lemas selepas terjatuh ketika tidur di dalam bot bilis di sungai Taman Nilam, di Jalan Air Hangat, Langkawi, awal pagi hari ini.

Difahamkan ketika kejadian 1 pagi itu, mangsa yang menghidap penyakit sawan dikatakan sedang tidur di dalam buaian di tingkat atas bot dua tingkat itu.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Langkawi, Pegawai Bomba Kanan II Faizal Che Mi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.33 pagi tadi dan tiba di lokasi enam minit kemudian bersama lapan anggota.

"Sejurus tiba, pihak bomba dimaklumkan seorang lelaki jatuh ke sungai dipercayai sedang tidur di atas bot dan mempunyai penyakit sawan.

"Tindakan operasi dilakukan dengan mengarahkan anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) melakukan kerja-kerja mencari dan menyelamat (SAR) dengan menggunakan bot penyelamat di kawasan sungai.

"Setakat 12 tengah hari ini, mangsa masih belum ditemui dan keadaan air sungai mulai pasang," katanya dihubungi di sini.

Beliau berkata, operasi SAR itu turut dibantu empat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 January 2018 @ 12:34 PM