PASUKAN PDRM DAN JBPM mengusung mayat dari jeti sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Sibu. FOTO Erika George
PASUKAN PDRM DAN JBPM mengusung mayat dari jeti sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Sibu. FOTO Erika George
Erika George


Sibu: Seorang lelaki yang terjatuh dari belakang sebuah bot ekspres di Terminal Bot Ekspres Sibu dekat Sungai Rejang, di sini, Isnin lalu ditemui lemas, hari ini.

Mayat Neckson Entingai Isek, 39 ditemui terapung pada jarak 150 meter dari lokasi terakhir mangsa terjatuh.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam kenyataannya berkata, mayat itu ditemui 11.28 pagi di permukaan air oleh Lembaga Sungai Sungai Sarawak (LSS) yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR).

"Pasukan LSS kemudiannya menghubungi Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

"Operasi SAR yang masuk hari ketiga hari ini ditamatkan selepas penemuan mayat itu," katanya.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sibu bagi tujuan pemeriksaan serta bedah siasat.

Dalam kejadian kira-kira 8 pagi Isnin lalu, mangsa dikatakan berada di belakang bot yang berlabuh di terminal bot ekspres itu bersama bapa mentuanya, Sta Dana, 51.

Ketika berdiri di belakang bot yang akan melakukan perjalanan ke Daro itu, mangsa dikatakan tiba-tiba tergelincir lalu terjatuh ke dalam sungai.

Bapa mentuanya cuba menyelamatkan mangsa, namun lelaki itu tenggelam dan hilang dibawa arus kuat.

Berdasarkan keterangan bapa mentuanya, mangsa difahamkan mengidap penyakit sawan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Oktober 2020 @ 2:42 PM