Fatimah tabah menguruskan Mohd Azizi yang terlantar sejak enam tahun lalu. FOTO/ Ramli Ibrahim
Fatimah tabah menguruskan Mohd Azizi yang terlantar sejak enam tahun lalu. FOTO/ Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim

NALURI keibuannya tidak tergamak untuk membiarkan anak terbiar meskipun dirinya sudah tidak kuat dan kerap mengalami sakit lutut.

Fatimah Sulaiman, 69, dari Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Jeram Tekoh, Gua Musang terpaksa menggagahkan diri untuk menguruskan anak sulung, Mohd Azizi Abas, 38, yang lumpuh seluruh badan.

Mohd Azizi berkeadaan begitu akibat kemalangan jalan raya enam tahun lalu dan kini hanya terlantar dengan semua keperluannya diuruskan Fatimah serta dibantu anak bongsu yang berusia 24 tahun.

Menurut Fatimah, ada ketikanya dia menangis mengenangkan nasib mereka anak beranak yang hanya bergantung satu sama lain untuk meneruskan hidup.

“Saya sendiri sudah uzur dan kerap sakit lutut, namun demi Azizi, semuanya terpaksa saya tahan kerana dia lebih memerlukan perhatian.

“Dia perlu dimandi, dibersih dan disuapkan makan. Kaki dan tangannya bengkok serta tidak dapat digerakkan.

“Hanya anak bongsu yang tinggal bersama bantu saya selepas pulang dari kerja,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Fatimah berkata, Mohd Azizi kemalangan ketika memandu seorang diri di Triang, Pahang dan koma selama enam bulan disebabkan kecederaan parah di kepala.

Katanya, anak sulung daripada empat beradik itu juga sudah berkahwin dan mempunyai dua anak berusia lima dan tujuh tahun.

“Azizi pernah dirawat di hospital di Ipoh, Perak dan sedar semula, serta dibawa ke sini dalam keadaan lumpuh,” katanya.

Fatimah berkata, dia bergantung sepenuhnya kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat bernilai RM300 untuk membeli keperluan Mohd Azizi, selain dibantu anaknya termasuk dua orang yang menetap di luar Kelantan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2018 @ 3:55 PM