Ab Ghani memeriksa sebahagian beg tangan LV tiruan yang dirampas. FOTO/ Nik Abdullah Nik Omar
Ab Ghani memeriksa sebahagian beg tangan LV tiruan yang dirampas. FOTO/ Nik Abdullah Nik Omar
Muhamaad Razis Ismail

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kelantan merampas 300 kotak minyak masak dan 390 unit pelbagai barang jenama Louis Vuitton ( LV) tiruan dalam dua serbuan berasingan pada 11 Januari lalu.

Pengarahnya Datuk Ab Ghani Harun berkata, dalam operasi pertama jam 12 tengah hari, pihaknya menyerbu premis di Ketereh, Kota Bharu yang menjual pelbagai barang termasuk beg tangan, dompet, kasut kanak-kanak dan tali pinggang LV tiruan.

Pihaknya mendapat aduan daripada wakil pemilik cap dagangan berhubung kegiatan itu selepas pemilik premis itu mengiklankan jualannya secara besar-besaran di hadapan premisnya dan Facebook.

“Pemeriksaan lanjut, kita menemui 390 unit barang tiruan jenama LV dianggarkan bernilai RM36,000 yang diperoleh dari Kuala Lumpur sebelum dijual pada harga sekitar RM50 hingga RM65.

“Susulan itu, kita menahan lelaki berusia 35 tahun yang juga pemilik premis itu untuk disiasat mengikut Seksyen 8 (2) Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya pada sidang media di Stor KPDNKK Pengkalan Chepa, hari ini.

Sebahagian daripada rampasan minyak  masak. FOTO/ Nik Abdullah Nik Omar
Sebahagian daripada rampasan minyak masak. FOTO/ Nik Abdullah Nik Omar

Menurutnya, pada hari sama jam 11.40 malam, pihaknya turut berjaya merampas 300 kotak minyak masak yang mahu diseludup ke Thailand di sebuah rumah di Kampung Banggol Kulim, Rantau Panjang.

Katanya, menerusi Ops Khas Bekalan, pihaknya menahan lelaki tempatan berusia 33 tahun dan merampas minyak masak seberat 680 kilogram bernilai RM14,450 yang diperoleh dari Klang, Selangor.

“Modus operandi digunakan sindiket ini dengan menempatkan minyak masak di stor tidak berdaftar sebelum menyeludup ke negara jiran melalui pangkalan haram pada masa tertentu saja sekitar 7 malam hingga 9 malam untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2018 @ 12:53 PM