Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
BERNAMA

Bangkok: Polis Malaysia dan Thailand bersetuju untuk memperkukuh kerjasama dalam usaha membanteras sindiket penipuan pekerjaan di luar negara yang membabitkan rakyat kedua-dua negara itu.

Perkara itu diputuskan selepas perbincangan antara Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan dan Penolong Ketua Polis Thailand, Leftenan Jeneral Surachate Hakparn, di sini, pada Jumaat lalu.

Dalam pertemuan itu, Abd Jalil berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Polis Diraja Thailand (RTP) bersetuju berkongsi maklumat dan data bagi mengenal pasti rangkaian jenayah, trend semasa dan modus operandi terkini demi mengelakkan rakyat kedua-dua negara daripada menjadi mangsa penipuan.

"PDRM dan RTP bersetuju supaya maklumat mangsa penipuan pekerjaan disalurkan ke Kementerian Luar dan polis Malaysia," katanya.

Beliau turut menyarankan agar semua badan bukan kerajaan (NGO) menyalurkan semua maklumat yang diperoleh daripada mangsa atau keluarga mereka kepada PDRM atau Kementerian Luar serta pihak kedutaan supaya tindakan segera dapat diambil.

"Kami berharap waris dan keluarga mangsa (kes penipuan pekerjaan di luar negara) turut mengambil langkah yang sama," katanya.

Selain itu, Abd Jalil berkata, PDRM dan RTP akan mengkoordinasi penyiasatan bagi menjejaki dalang utama sindiket penipuan pekerjaan sama ada di Malaysia atau Thailand.

Menurut statistik dan laporan polis, seramai 19 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan pekerjaan masih berada di Thailand.

"Kami telah mendapat lampu hijau untuk membawa pulang lima mangsa rakyat Malaysia yang berjaya diselamatkan oleh pihak Thailand dengan kerjasama Kedutaan Malaysia di Thailand," katanya.

Beliau dimaklumkan pihak berkuasa Thailand akan membantu membawa pulang 14 lagi warga Malaysia secepat mungkin.

"Selain Thailand, PDRM turut menjalin kerjasama erat dengan Polis ASEAN (Aseanapol), Polis Antarabangsa (Interpol) serta pihak berkuasa di China, Kemboja dan Myanmar bagi menangani isu berkenaan.

"PDRM juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa China yang mempunyai kepakaran teknologi dalam usaha mengesan dan menjejaki dalang sindiket terbabit," katanya.

Beliau turut menasihatkan rakyat Malaysia dan Thailand membuat semakan dengan pihak berkuasa bagi mengesahkan tawaran pekerjaan yang menjanjikan kadar upah yang tinggi.

"Walaupun ia akan mengambil masa sedikit (proses pengesahan) tetapi ia berbaloi kerana anda tidak menjadi mangsa penipuan," katanya.

Sementara itu, Surachate mengalu-alukan kerjasama antara Thailand dan Malaysia dalam menangani kes berkenaan.

"Thailand dikenal pasti sebagai antara negara transit sebelum mangsa dibawa ke negara ketiga.

"Oleh itu, perkongsian maklumat antara kedua-dua negara (Thailand dan Malaysia) akan membantu menangani isu terbabit dengan berkesan," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, ramai rakyat Thailand turut ditipu sindiket berkenaan yang menjanjikan kadar upah yang tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Februari 2023 @ 4:54 PM