TAPAK projek pembangunan Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) di Jalan Semarak, Kuala Lumpur. FOTO arkib NSTP
TAPAK projek pembangunan Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) di Jalan Semarak, Kuala Lumpur. FOTO arkib NSTP
Kalidevi Mogan Kumarappa


KERTAS siasatan berhubung kes pemindahan hak milik tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur dijangka dapat diserahkan kepada Peguam Negara minggu depan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, siasatan kes berkenaan masih dijalankan dan polis tidak akan mendedahkan butiran lain mengenai kertas siasatan berkenaan.

"Siasatan sedang berjalan. Dijangka ia akan serahkan kepada pejabat Peguam Negara pada minggu depan.

"Saya juga tidak boleh mendedahkan mengenai bilangan saksi yang sudah dirakam percakapan setakat ini," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Lebih awal, beliau merasmikan perasmian pejabat baru Sekretariat Aseanapol dan Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Eksekutif dan Pengarah Perkhidmatan Polis Sekretariat Aseanapol di Menara Berkembar Bank Rakyat.

Ditanya lebih lanjut mengenai peratus siasatan kes itu, beliau berkata beliau tidak boleh memberi kenyataan mengenainya.

"Tak boleh komen berapa peratus (sudah disiapkan). Ia bergantung kepada siasatan yang sedang berjalan," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan FELDA berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak, di ibu kota, yang dianggarkan bernilai lebih RM200 juta apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi diragui sejak 2015.

Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila FELDA Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh (full power of attorney) bagi membangunkannya.

Berikutan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat transaksi pindah milik tanah yang didakwa mencurigakan itu.

Berita berkaitan:

Audit projek KLVC bermula hari ini

Peneroka minta siasat isu tanah FELDA

'Kita nak balik tanah tu. At all costs' [TANPA EDIT]

Shahrir 'terpegun' mudahnya FELDA hilang tanah

'RM200 juta tuu...bukannya sikit!'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2018 @ 1:04 PM