Mustapa diiringi Said (kiri) bersalaman dengan hadirin di Majlis Apresiasi Pengurusan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Negeri Kelantan di Pusat Dagangan Kelantan (KTC), Kota Bharu. FOTO ZAMAN HURI ISA
Mustapa diiringi Said (kiri) bersalaman dengan hadirin di Majlis Apresiasi Pengurusan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Negeri Kelantan di Pusat Dagangan Kelantan (KTC), Kota Bharu. FOTO ZAMAN HURI ISA
Mohamad Zulhairie Manzaidi


JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) menjangkakan penambahan sebanyak RM15 juta bagi peruntukan bantuan di Kelantan, tahun ini.

Ia susulan kenaikan bantuan untuk orang kurang upaya (OKU) dan pesakit terlantar.

Tahun lalu, sejumlah RM130,458,282 dibelanjakan untuk membantu rakyat Kelantan dengan peruntukan paling besar adalah bantuan bulanan sebanyak RM115,736,563.

Pengarah JKM Kelantan, Said Sidup berkata, pihaknya menjangkakan keseluruhan RM145 juta bakal dibelanjakan tahun ini untuk membantu golongan memerlukan.

“Kita jangka akan ada tambahan RM15 juta bagi peruntukan bantuan tahun ini, berbanding tahun lalu dan RM13 juta daripadanya untuk bantuan bulanan.

“Bagaimanapun jumlah sebenar pemohon masih belum diketahui memandangkan permohonan masih dibuka dan orang ramai boleh kemukakan pada bila-bila masa,” katanya pada Majlis Apresiasi Pengurusan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di Pusat Dagangan Negeri Kelantan (KTC) Kota Bharu, malam tadi.

Majlis dirasmikan Pengerusi Majlis Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Said berkata, kesedaran masyarakat untuk mendapatkan bantuan kerajaan juga semakin tinggi, dan permohonan dikemuka mereka menerusi pejabat JKM daerah dan orang tengah.

Dalam pada itu, Mustapa berkata, peningkatan permohonan bantuan JKM bukan sesuatu yang luar biasa.

“Masih ramai di luar sana yang memerlukan bantuan terutamanya OKU, golongan terlantar, ibu tunggal dan ramai lagi.

“Jadi dengan bantuan yang diberikan mampu meringankan beban yang ditanggung mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2018 @ 12:23 AM