MENTERI Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
MENTERI Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

Kuala Lumpur: Masih terdapat peruntukan Belanjawan 2021 melebihi RM200 bilion untuk dibelanjakan tahun ini selain beberapa pakej rangsangan ekonomi termasuk Pemerkasa Tambahan untuk membantu rakyat menghadapi pandemik Covid-19.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Parlimen meluluskan peruntukan sebanyak RM322.5 bilion di bawah Belanjawan 2021 di mana sehingga akhir April 2021, sebanyak RM117 bilion telah dibelanjakan.

"Ini bermakna terdapat baki RM215 bilion untuk dibelanjakan sehingga Disember 2021," katanya dalam sidang media khas secara maya semalam.

Menurutnya, antara langkah Belanjawan 2021 yang masih sedang dilaksanakan untuk manfaat rakyat adalah bantuan kebajikan yang peruntukannya dinaikkan daripada RM1.5 bilion pada 2020 kepada RM2.2 bilion pada 2021.

"Ia membabitkan kenaikan kadar bantuan kebajikan kepada golongan rentan seperti warga emas terlantar, keluarga miskin dan orang kurang upaya (OKU)," katanya.

Beliau berkata, Jalinan Digital Negara (Jendela) juga sedang dilaksanakan dengan peruntukan RM500 juta yang antara lainnya membabitkan sambungan fiber untuk sekolah.

"Program lain yang dibiayai perbelanjaan pembangunan (DE) Belanjawan 2021 termasuk Dana Kredit Mikro sebanyak hampir RM1 bilion dan penyelenggaraan sekolah," katanya.

Selain itu, katanya, tanpa mengira Pemerkasa Tambahan masih banyak program yang sedang dan akan berjalan mengikut perancangan membabitkan peruntukan lebih RM100 bilion untuk dibelanjakan sehingga akhir tahun ini.

Antaranya termasuk program eBelia yang dilancarkan semalam yang dijangka memanfaatkan dua juta belia dan pelajar institut pengajian tinggi; Program Jaringan Prihatin yang dijangka memanfaatkan 8.4 juta penerima; dan subsidi upah dan insentif pengambilan pekerja yang bakal memanfaatkan 2.7 juta pekerja.

Kelmarin, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej rangsangan Pemerkasa Tambahan bernilai RM40 bilion dengan sejumlah 12 inisiatif untuk membantu meredakan cabaran yang dihadapi rakyat.

Tengku Zafrul berkata, sejak Mac 2020 hingga Mac 2021, kerajaan mengumumkan enam pakej rangsangan ekonomi bernilai RM340 bilion, dengan suntikan fiskal RM65 bilion atau hampir 4.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam menangani cabaran kesihatan dan ekonomi dihadapi.

Menurutnya, keberkesanan dasar yang proaktif ini sudah mula menunjukkan hasil dengan pemulihan ekonomi yang positif apabila negara mencatatkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak enam peratus pada bulan Mac tahun ini.

Melalui pemantauan Laksana, pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan sepanjang 2020 telah memanfaatkan lebih daripada 20 juta rakyat dan 2.4 juta perniagaan.

"Setakat ini, hampir 60 peratus daripada inisiatif telah disalurkan. Daripada jumlah ini, sebahagian besar inisiatif ini termasuklah bantuan segera dan tunai seperti seperti Bantuan Prihatin Nasional, Geran Khas Prihatin, Subsidi Upah dan pelbagai langkah lain untuk melindungi rakyat dan memastikan kelangsungan perniagaan," katanya.

Dari segi nilai, setakat 21 Mei 2021, hampir RM200 bilion telah disalurkan sepanjang pelaksanaan pelbagai pakej rangsangan ekonomi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Jun 2021 @ 6:30 AM