Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Sebanyak 10 taska di Kelantan dikenakan tindakan undang-undang kerana tidak mematuhi syarat ditetapkan, tahun lalu.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan, Said Sidup berkata, enam taska dikenakan arahan bertulis dan empat dibatalkan perakuan.

"Tahun ini, satu premis di Panji yang viral minggu lalu dihantar Notis Lak dan kita mempergiatkan advokasi dengan meminta pengusaha taska berdaftar.

"Kita juga menasihatkan ibu bapa agar hantar anak ke taska berdaftar yang boleh disemak dalam laman web JKM yang sentiasa dikemaskini," katanya kepada yang ditemui pada majlis pelancaran buku Raudhah Sakeenah, Sepancar Sinar Segunung Harapan di Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan, di sini.

Mengenai taska tular yang didakwa menganiaya pekerja, Said berkata, selain Notis Lak, pengusaha taska diberi tempoh 21 hari untuk mengemukakan perakuan pendaftaran taska.

Katanya, pihaknya memantau premis itu dan akan mengambil tindakan selanjutnya, bergantung kepada pematuhan serta dokumen dilampirkan.

"Sebelum ini dia (pemilik) daftar tapi kami batalkan sebab dia tukar skop menjadi tadika, jadi dia buat permohonan baharu di bangunan lain tapi sudah beroperasi tanpa kebenaran.

"Dia (sepatutnya) kena dapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Kesihatan, barulah JKM perakukan setelah melihat dokumen itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2023 @ 5:55 PM