BERNAMA

Kota Bharu: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini diberitahu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyalurkan bantuan berjumlah RM164,337,952 kepada 47,045 penerima di negeri itu setakat September lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri Datuk Mumtaz Md Nawi berkata, ia membabitkan penerima skim Bantuan Kanak-Kanak (BKK), Bantuan Warga Emas (BWE), Elaun Pekerja OKU (EPOKU), Bantuan Penjagaan OKU/Pesakit Kronik Terlantar (BPT), Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (BTB) dan Bantuan Anak Pelihara (BAP).

Beliau berkata, 39,538 orang merupakan penerima bantuan menerusi peruntukan Kerajaan Persekutuan manakala 7,507 orang menerima bantuan yang disalurkan Kerajaan Negeri.

"Di bawah peruntukan Kerajaan Persekutuan seramai 39,538 menerima bantuan masing-masing melibatkan peruntukan RM147,667,452.

"BKK memberi manfaat kepada 9,808 penerima, BWE (8,893), EPOKU (8,718), BPT (2,904), BTB (9,191) dan BAP (24)," katanya Persidangan DUN Kelantan di Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Rozi Muhamad (PAS-Tendong) mengenai jumlah penerima bantuan JKM Kelantan pada tahun ini pada sesi soal jawab lisan.

Mumtaz berkata, Kerajaan Kelantan menyalurkan bantuan am kepada 7,507 penerima membabitkan peruntukan berjumlah RM16,670,500.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2022 @ 12:07 PM