AMINAH melihat barang keperluan rumah yang disimpan di dalam rumah rakit.
AMINAH melihat barang keperluan rumah yang disimpan di dalam rumah rakit.
Noor Ainum Ibnu Hajar Abu Seman

Jerantut: “Walaupun air sudah surut dan rumah siap dibersihkan, saya tidak akan serta-merta mengeluarkan barang dari rumah rakit,” kata Aminah Awang Hitam, 65, mangsa banjir di Kampung Paya Teh, di sini.

Ibu kepada 12 anak itu berkata, dia akan menunggu sekurang-kurangnya seminggu sebelum mengeluarkan peralatan elektronik dan perabot rumahnya dari rumah rakit dibina bersama ahli keluarga.

“Saya bimbang kerana keadaan cuaca kini tidak menentu.

“Jika saya memasukkan barang ke dalam rumah terlalu awal dan banjir berlaku lagi maka kami sekeluarga terpaksa mengganti dan membersihkan barang lagi,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Katanya, dia pulang ke rumah, kelmarin selepas dimaklumkan paras air sudah surut.

“Sebaik tiba di rumah jam 8 pagi, saya dan suami, Rojah Harun, 65, serta cucu segera mencuci lumpur di bahagian dapur yang terjejas.

“Saya bersyukur banjir kali ini tidak seteruk 2014 kerana air naik hanya pada bahagian dapur dan tidak menjejaskan punca elektrik,” katanya.

Aminah berkata, pada banjir 2014 lalu ia menenggelamkan rumahnya sehingga memerlukan dia memanggil anak dan menantu pulang ke kampung membantu membersihkan lumpur pada dinding, siling dan lantai.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah (PPAD) yang juga Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Jerantut Mohd Alip Roslani berkata, tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Teh dan Balairaya Kampung Besul ditutup kelmarin, manakala PPS Dewan Serbaguna Kampung Jerantut Feri, jam 11.10 pagi semalam.

“Semua mangsa ditempatkan di PPS dibenarkan pulang selepas air surut.

“Justeru, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah ditutup secara rasmi jam 12 tengah hari ini (semalam),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2018 @ 8:55 AM