Nur Azlina bersama seorang anaknya membersihkan rumah mereka di Kampung Kajang Sebidang, Tumpat selepas banjir semakin surut. FOTO Syamsi Suhaimi
Nur Azlina bersama seorang anaknya membersihkan rumah mereka di Kampung Kajang Sebidang, Tumpat selepas banjir semakin surut. FOTO Syamsi Suhaimi
Mohamad Zulhairie Manzaidi


MANGSA banjir di sekitar Tumpat mula pulang ke rumah masing-masing selepas paras air semakin surut.

Biarpun air masih berada pada aras 0.3 meter di kawasan rumah berikutan banjir termenung, namun penduduk dilihat sudah berada di rumah sejak semalam untuk membersihkan kediaman masing-masing.

Nur Azlina Abd Rahman, 43, dari Kampung Kajang Sebidang, Tumpat, berkata, dia mula berpindah ke rumah mentuanya di Kampung Palas Merah di sini, selepas rumahnya dinaiki air sedalam satu meter sejak 28 November lalu.

Menurutnya, hari ini dia dapat pulang ke rumah selepas dimaklumkan air semakin surut.

“Hari ini, saya bersama tujuh anak berusia empat hingga 21 tahun pulang untuk bersihkan rumah kerana bimbang ada haiwan berbisa.

“Ketika membersihkan rumah tadi, saya menjumpai seekor anak ular, namun tidak membahayakan keselamatan. Saya akan terus tinggal di rumah mentua kerana rumah masih basah selain bimbang gelombang kedua melanda,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Katanya, sebelum banjir melanda, dia membuat persiapan awal dengan meletakkan peralatan penting di tempat tinggi.

“Saya terpaksa tinggalkan barangan di rumah dan berpindah kerana bimbang anak yang masih kecil baru berusia empat tahun,” katanya.

Berdasarkan portal eBanjir Kelantan, pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir di Sekolah Kebangsaan (SK) Bunohan, Tumpat sudah ditutup jam 12 tengah hari tadi.

Seramai 32 mangsa membabitkan lapan keluarga di PPS itu dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing biarpun masih dilanda banjir termenung.

Banjir mula melanda negeri ini sejak 26 November lalu menyebabkan hampir 15,000 penduduk di beberapa daerah termasuk Pasir Mas, Kota Bharu, Pasir Puteh dan Tumpat diarahkan berpindah ke PPS selepas kediaman mereka dinaiki air.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2017 @ 6:02 PM