SK Padang Kubu yang ditutup hari ini kerana laluannya terputus hubungan kerana banjir dibuka semula esok. FOTO Rozainah Zakaria
SK Padang Kubu yang ditutup hari ini kerana laluannya terputus hubungan kerana banjir dibuka semula esok. FOTO Rozainah Zakaria
Isma Ismail


DUA sekolah masing-masing di Kemaman dan Dungun ditutup esok kerana banjir sekali gus menjejaskan seramai 276 murid dan 40 guru.

Pengarah Jabatan Pendidikan Terengganu, Shafruddin Ali Hussin berkata, Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Raja yang sudah ditutup pada hari ini masih lagi tidak dapat mengadakan kelas pembelajaran esok.

Menurutnya, seramai 63 murid dan 16 guru di sekolah berkenaan terjejas berikutan kawasan sekitarnya masih dinaiki air.

"SK Pasir Gajah di Kemaman pula yang mempunyai 213 murid dan 23 guru terpaksa ditutup esok kerana banjir," katanya.

Hari ini, tiga sekolah di dua daerah di negeri ini termasuk SK Pasir Raja ditutup berikutan laluannya terputus hubungan dan dinaiki air akibat hujan lebat sejak kelmarin.

Selain SK Pasir Raja, SK Kampung Syukor di Dungun yang mempunyai 73 murid dan 13 guru ditutup selepas kawasan sekitarnya dinaiki air.

Sekolah yang ditutup di Kemaman pada hari ini pula ialah SK Padang Kubu membabitkan seramai 264 murid dan 26 guru selepas laluan ke kawasan itu terputus hubungan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2018 @ 10:51 PM